TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan bahawa Republik Islam itu tidak mahukan peperangan, tetapi akan mempertahankan hak rakyatnya dan akan memberikan respons yang setimpal terhadap serangan terbaharu Israel ke atas negara itu, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Presiden itu berkata demikian pada sesi Kabinet pada Ahad, sehari selepas rejim Israel melancarkan serangan ke atas tapak ketenteraan Iran.

Beliau berkata, Republik Islam dan rakyatnya telah menunjukkan sejak 45 tahun yang lalu bahawa mereka tidak akan tunduk terhadap mana-mana penceroboh.

Menegaskan hak Iran untuk bertindak balas terhadap pencerobohan Israel, Pezeshkian berkata: "Kami tidak mahu perang, tetapi kami akan mempertahankan negara kami dan hak rakyat kami. Kami akan memberikan respons yang setimpal terhadap pencerobohan oleh rejim Zionis.

"Presiden itu juga merujuk kepada kematian empat anggota tentera Iran yang gugur syahid ketika mempertahankan ruang udara negara itu daripada pencerobohan Israel. Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mereka dan seluruh angkatan bersenjata Iran.

Selain itu, Pezeshkian turut bercakap mengenai jenayah berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap penduduk Gaza dan Lubnan.

Beliau berkata, semua orang di seluruh dunia menyaksikan bahawa penyokong rejim itu, terutama Amerika Syarikat (AS), yang mendakwa mempertahankan kebebasan dan hak asasi manusia, tetap berdiam diri terhadap pembunuhan puluhan ribu wanita dan kanak-kanak.

Presiden Iran itu memberi amaran bahawa ketegangan akan meningkat jika rejim Zionis meneruskan pencerobohan dan jenayahnya, dengan mengatakan bahawa AS sedang memprovokasi rejim berkenaan untuk melakukan jenayah ini.

"Mereka telah berjanji untuk menamatkan perang sebagai balasan kepada sikap menahan diri Iran, tetapi mereka mengingkari janji mereka," kata Pezeshkian.

Sementara itu, Presiden itu menyeru pegawai untuk mengenal pasti dan menghukum mereka yang bertanggungjawab di sebalik serangan pengganas pada Sabtu yang mengorbankan 10 anggota penguatkuasa undang-undang Iran di bandar Taftan, wilayah Sistan-and-Baluchestan.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah atas kematian mereka. - BERNAMA