Pesawat membawa 175 penumpang dan enam kru itu dilaporkan tergelincir dari landasan dan merempuh tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di barat daya negara itu.
Ratusan keluarga yang berkumpul di lapangan terbang tersebut menangis dan berpelukan selepas pihak bomba mengumumkan nama-nama mangsa yang maut.
Menurut pihak bomba, kemalangan itu berpunca daripada kerosakan gear pendaratan yang mungkin disebabkan oleh serangan burung dan cuaca buruk.
Namun Kementerian Pengangkutan berkata, siasatan terperinci mengenai punca sebenar nahas itu mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun memandangkan pesawat itu dihasilkan di luar negara.
Pesawat Boeing 737-800, yang terbang dari Bangkok itu, diberi amaran mengenai serangan burung oleh menara kawalan semasa percubaan pertamanya mendarat sejurus selepas pukul 9:03 pagi (waktu tempatan).
Beberapa minit kemudian, juruterbang mengeluarkan amaran ‘Mayday’ tetapi ia cuba mendarat semula tanpa gear pendaratannya diaktifkan.
Menara kawalan mengarahkan pesawat mendarat ke arah bertentangan di landasan 19.
Kata pegawai bomba, juruterbang mengikut arahan tetapi pesawat itu melanggar peralatan navigasi di atas tanah sebelum merempuh tembok penghadang.
Pemangku Presiden, Choi Sang Mok mengisytiharkan zon bencana khas di Muan ekoran insiden itu.
Pengisytiharan itu akan membantu mewujudkan pembiayaan kerajaan pusat untuk kerajaan tempatan dan mangsa.
Penyiasat kebakaran berkata, pesawat itu hancur akibat letupan sehingga amat sukar untuk dikenal pasti.
Menurut seorang pegawai dari Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT) Korea Selatan, alat perakam penerbangan dan kotak hitam pesawat itu sudah ditemui.
Dua kru penerbangan wanita yang diselamatkan sejurus selepas kejadian sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Mokpo.