SEJAK sempadan negara dibuka pada 1 April lepas, penerbangan keluar dan masuk ke Malaysia semakin rancak, membuatkan ramai mula merancang untuk bercuti di luar negara.

Banyak negara serantau dan dunia juga sudah mengambil keputusan membuka sempadan, kerana menyahut seruan pemulihan ekonomi termasuk sektor pelancongan.

Dalam keghairahan mengembara, pasti ramai yang teruja untuk 'mencanang' kepada umum tentang perancangan percutian, termasuklah dengan melakukan satu 'kesalahan besar'!

Sesetengah daripada kita begitu teruja sehingga 'menayangkan' gambar gambar tiket dan pasport di akaun media sosial masing-masing. Kenapa gambar pasport dan tiket? Kalau bukan gambar sebegitu, orang lain tak tahulah mereka mahu ke luar negara, kan?

Seorang lelaki dari Singapura dikenali sebagai Jason Ho menasihatkan semua orang agar tidak melakukan perkara itu kerana dengan mudah maklumat privasi anda boleh diperoleh sesiapa.

Memetik laporan portal berita Singapura, Mothership.sg, penceramah motivasi itu berkata, seseorang akan mendedahkan sekurang-kurangnya tujuh maklumat peribadi jika sengaja (atau tidak sengaja) mendedahkan gambar tiket penerbangan di media sosial:

Menurut Jason, hal itu sangat bahaya. Ini kerana, individu yang tidak bertanggungjawab boleh menggunakan maklumat itu untuk mengubah perjalanan anda malah lebih teruk, boleh membatalkannya terus.

"Saya akan tunjukkan kepada anda apa yang dilakukan oleh seorang ‘influencer’ apabila dia pergi ke Sukan SEA," sambung Jason, dengan mengatakan - video itu semata-mata untuk tujuan pendidikan.

Dia kemudian menunjukkan tangkap layar yang sudah dikaburkan daripada video yang disiarkan oleh pempengaruh yang tidak dinamakan.

Jason menegaskan ‘influencer' itu secara tidak sengaja mendedahkan nama penuh dan nombor e-tiketnya kepada penonton video tersebut, walaupun dalam video yang sekilas durasi 0.5 saat

Dengan maklumat itu, Jason menunjukkan pihak yang mempunyai niat jahat boleh mengakses fungsi "mengurus tempahan" di laman web Singapore Airlines.

Dia kemudian meneruskan untuk menunjukkan bagaimana dia dapat mencari maklumat peribadi ‘influencer’ tersebut.



Hanya dengan nama penuh dan nombor e-tiket itu, Jason menunjukkan, seseorang boleh masuk ke laman web tersebut dan mencetak resit atau makumat penerbangannya, yang turut mengandungi maklumat peribadi antaranya seperti nama penuh, nombor telefon, tarikh lahir, digit terakhir kad kredit dan nombor pasport pemiliknya.

"Saya malah boleh mengetahui pesawat yang dinaikinya, dan tempat duduknya dalam pesawat itu!" katanya.

Begitupun, menurut Jason, video itu tidak lagi ada dalam talian dan dia telah menghantar mesej secara peribadi kepada ‘influencer’ itu untuk memberi amaran kepadanya.

“Jangan lakukan perkara ini. Jika anda masih mahu melakukannya juga, tutup nombor e-tiket anda dengan ibu jari atau apa sahaja,” ujarnya.