JAKARTA: Indonesia menyambut Hari Kemerdekaan ke-79 pada Sabtu dengan majlis gilang-gemilang di ibu negara baharu, Nusantara, menandakan kali pertama sambutan itu diadakan di sana.

Pada masa yang sama, majlis sambutan turut berlangsung di Istana Merdeka di Jakarta.

Majlis di Nusantara diketuai Presiden Joko Widodo, yang diiringi presiden dipilih, Prabowo Subianto.

Sementara itu, Naib Presiden Ma'ruf Amin mengetuai majlis di Jakarta, dengan naib presiden dipilih, Gibran Rakabuming Raka, di sisinya.

Bagi menjamin keselamatan ketika sambutan, Polis Nasional mengerahkan lebih 1,000 anggota, manakala Tentera Nasional Indonesia mengerahkan lebih daripada 2,000 anggotanya di Nusantara.


Seluruh negara dihiasi bendera merah-putih, dengan pelbagai pertandingan dan acara diadakan dalam beberapa hari menjelang sambutan itu.

Prabowo yang akan dilantik pada Oktober tahun ini, menegaskan komitmennya untuk meneruskan pembangunan Ibu Negara Nusantara di bawah kepemimpinannya.

-- BERNAMA