Ia merupakan sebuah "kota terencana" yang menggantikan peranan Jakarta sebagai ibu kota negara dan pusat pentadbiran pemerintah Indonesia.
Terletak di Kalimantan Timur yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara, ia memiliki keluasan 2,561.42 kilometer persegi dengan keluasan kawasan ibu negara sekitar 561.80 kilometer persegi, dan kawasan teras pusat pentadbiran 68.56 kilometer persegi.
Sejumlah Rp 84 triliun telah dibelanjakan untuk tujuan pembangunan di sini, daripada keseluruhan peruntukan Rp 466 triliun atau sekitar AS$35 bilion untuk membangunkan premis-premis kerajaan dan sebagainya.
Justeru, amat signifikan apabila sambutan kemerdekaan Indonesia ke-79 buat pertama kalinya disambut di lokasi baharu ini, dan dihadiri oleh Presiden Joko Widodo dan bakal Presiden, Prabowo Subianto.
Jokowi memiliki alasan tersendiri kerana ini merupakan antara bulan-bulan terakhir beliau sebagai presiden.
Justeru sebagai pencetus kepada pembinaan IKN, sewajarnya beliau menduduki dahulu kota yang akan menjadi legasi pemerintahannya.
Pun begitu, sambutan turut diadakan di Jakarta, kerana kota baharu ini hanya mampu memuatkan maksimum 2,000 tetamu.
Bagi Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Wijaksono, pembukaan IKN sewajarnya mengakrabkan lagi hubungan Sarawak dan Nusantara sebagai jiran terdekat.
“Banyak sekali yang diperlukan oleh IKN dan Sarawak sebagai wilayah yang juga sedang rancak membangun di Borneo, sudah pasti boleh membantu dalam melunaskan pelbagai urusan, terutamanya dalam pembangunan.
“Antaranya aspek pembinaan prasarana, bekalan tenaga, malah pengurusan rawatan air," kata beliau.
Ketika ini, katanya, di antara Sarawak dan Kalimantan Barat, telah wujud jalinan akrab.
“Buktinya, Sarawak Energy Berhad (SEB), sebuah syarikat pembekalan tenaga di Sarawak, telah membekalkan 100 hingga 200 MW tenaga elektrik kepada Kalimantan Barat sejak 2016 melalui kabel transmisi sepanjang 120 kilometer dari Mambong ke Bengkayang.
“SEB malah memiliki 25 peratus saham dalam Projek Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP) di Kalimantan Timur yang menjana 1,375MW tenaga yang akan digunakan oleh IKN.
Justeru, katanya, hubungan simbiotik Sarawak-Nusantara sebenarnya telah mula terjalin dan ia akan terus berperanan dalam pembinaan ke depan dan pengembangan Nusantara.
“Selain itu, pada Jun lalu, Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur telah menerbangkan 50 pelabur dari Malaysia bagi merintis pelaburan di IKN dan sewajarnya ia menjadi langkah pertama ke arah prospek pelaburan bersama.
Kerjasama lain, tambahnya, juga berlaku dalam bidang kesihatan dan perubatan, seperti yang telah sedia terjalin dengan kebanyakan pesakit dari negara itu memilih untuk menerima rawatan di hospital-hospital pakar swasta di Sarawak.
“Dalam bidang pendidikan pula, telah banyak anak-anak Indonesia menghadiri kuliah di Unimas, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak, dan Universiti Curtin di Sarawak.
“Saya pasti jumlah ini akan bertambah selepas ini lantaran populasi IKN akan bertambah, manakala kemudahan di Sarawak telah tersedia dan boleh dimanfaatkan,” tambahnya.
Namun, menurut Raden Sigit, isu yang paling menghantui kedua-dua pihak adalah konektiviti.
“Sempadan kedua-dua negara di Borneo dan Kalimantan adalah lebih 2,019 kilometer. Laluan darat yang ada antaranya untuk barangan dan orang adalah di Tebedu-Entikong; Lubok Antu-Nanga Badau serta Biawak-Aruk.
“Paling dekat ke IKN adalah dari Lubok Antu-Nanga Badau-Putus Sibau. Itu pun melalui jalan sempit yang tidak selesa sepanjang lebih 300 kilometer dan mengambil masa yang agak lama.
Keadaan ini, katanya, perlu diperbaiki dengan kedua-dua kerajaan perlu duduk berbincang untuk menaik taraf jalan-jalan sedia ada, malah membuka pintu masuk baharu yang boleh merapatkan lagi IKN dan Sarawak.
Pada masa yang sama, katanya, konektiviti udara juga perlu ditingkat dan disediakan.
“Dalam konteks ini, penerbangan terus pergi balik dari Kuching-Balik Papan dan Kuching-Pontianak, serta Miri-Balik Papan dan Miri-Pontianak," katanya lagi.
Ketika ini, satu-satunya penerbangan ke Indonesia adalah Kuching-Jakarta yang sentiasa penuh, serta penerbangan dari Kuala Lumpur-Balik Papan.
Selain itu, tambahnya, pelaksanaan bisnes melalui sempadan Kalimantan-Sarawak perlu digiatkan kerana ia memiliki potensi yang besar.
“Bayangkan, bisnes Sarawak dan Indonesia menjangkau AS$600 juta. Namun hanya satu peratus melalui pintu sempadan, kerana yang lainnya menggunakan kapal laut via Jakarta-Kuala Lumpur-Sarawak.
“Semua pihak termasuk kerajaan Indonesia di sempadan Entikong perlu bekerja keras untuk menghakis keterbatasan ini.
"Terminal yang sedia ada di sempadan Indonesia perlu beroperasi segera, bagi mengimbangi pelabuhan darat (Inland Port) yang disediakan Malaysia, agar transaksi perniagaan dapat berlangsung giat dan lancar,” tambahnya lagi.
Yang jelas, katanya, pembukaan IKN akan merapatkan hubungan bilateral kedua-dua negara, termasuk pentadbiran IKN dan Sarawak.
Masing-masing akan menjadi “kota vibrant”, bukan sahaja kerana potensi ekonomi, tetapi kerana jarak kedua-duanya yang dekat, dan sejarah hubungan yang akrab.
Bermula hari ini, lembaran baharu ekonomi sebenarnya telah terbuka. Dan ia sebenarnya berita baik juga untuk usahawan Sarawak, kerana secara automatiknya, peluang perniagaan dan peluang pasaran mereka sebenarnya semakin meluas.
Mungkin selepas ini, akan ada lebih banyak kunjungan rasmi dilakukan di ibu kota Indonesia yang baharu itu, bagi merintis peluang-peluang yang terhidang dalam pelbagai bidang.