Gangguan pada rantaian bekalan global akibat konflik antarabangsa yang semakin memuncak menyebabkan ketidakstabilan harga minyak dunia, sekali gus memberi kesan kepada import minyak Indonesia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia berubah daripada negara pengeksport minyak bersih kepada pengimport minyak bersih akibat telaga minyak yang semakin tua dan pelaburan yang perlahan.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, negara kini mengimport satu juta tong minyak sehari dengan kos tahunan mencecah 500 trilion rupiah (kira-kira AS$31.33 bilion).
Pengeluaran minyak pasca jualan Indonesia menurun kepada sekitar 600,000 tong sehari tahun ini, berbanding 605,500 tong sehari tahun lepas. Selain itu, pembelian minyak turut terjejas oleh ketidakstabilan harga di pasaran global, manakala permintaan tenaga meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi.
Bagi menangani cabaran ini, Kerajaan Indonesia melaksanakan beberapa langkah, termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang penapisan, membina simpanan minyak, mempergiat eksplorasi dan mengaktifkan semula telaga minyak lama atau yang tidak digunakan.
Untuk memastikan kelancaran Projek Pelan Induk Pembangunan Penapisan (RDMP) yang sedang berlangsung di Balikpapan, Kalimantan Timur, Bahlil dan Menteri Pelaburan Rosan Roeslani merancang melakukan pemeriksaan bersama.
Projek RDMP, yang diiktiraf sebagai inisiatif strategik nasional bertujuan meningkatkan kapasiti pemprosesan kilang penapisan.
"Ini adalah tanggungjawab Rosan dan saya untuk memantau projek ini. Jika projek RDMP tidak diselesaikan, import minyak kita akan terus meningkat," katanya pada Rabu.
Sementara itu, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap harga minyak global yang tidak stabil, Bahlil menyatakan Indonesia bercadang membina kemudahan simpanan minyak di sebuah pulau berhampiran Singapura.
Kemudahan ini akan membolehkan syarikat minyak dan gas milik negara PT Pertamina membeli minyak secara pukal apabila harga rendah dan menyimpannya untuk digunakan apabila harga meningkat. Kemudahan itu direka untuk menyimpan pelbagai jenis minyak bagi tempoh 30 hingga 40 hari, melebihi kapasiti simpanan semasa negara sebanyak 21 hari.
Dalam aspek pengeluaran, Kerajaan Indonesia mempergiat penerokaan dan penyelidikan minyak dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini bagi meningkatkan pengeluaran minyak domestik.
Menurut Ketua Petugas Khas bagi Aktiviti Perniagaan Huluan Minyak dan Gas (SKK Migas) Dwi Soetjipto, usaha ini melibatkan penggerudian 130 telaga, menjalankan 11 kajian wilayah dan menyelesaikan lebih 600 tinjauan geologi serta geofizik.
"Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menggalakkan penemuan minyak dan gas bagi mencapai sasaran jangka pendek dan panjang," katanya.
Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral mengenal pasti 6,000 telaga yang tidak digunakan dengan potensi untuk diaktifkan semula.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Yuliot Tanjung berkata, usaha ini boleh meningkatkan pengeluaran minyak sehingga 20,000 tong sehari. - BERNAMA