Sekurang-kurangnya lima kematian dicatat di Bahamas akibat badaian Hurikan Dorian, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Perdana Menteri Hubert Minnis pada Isnin.

Menurut Minnis, sekurang-kurangnya 21 orang turut cedera semasa hurikan itu bergerak merentasi Lautan Atlantik ke arah tanah besar Amerika Syarikat (AS).

"Dorian kekal sebagai taufan yang amat berbahaya," kata Minnis menerusi akaun Twitter sambil menambah bahawa laporan dari Kepulauan Abaco di utara Bahamas yang dibadai taufan tersebut dengan angin kencang dan hujan lebat, menunjukkan "kemusnahan yang belum pernah berlaku sebelum ini."

Hurikan itu, dengan angin kencang berkelajuan 183 batu sejam (295 kilometer sejam), adalah antara yang paling kuat pernah dicatat di Lautan Atlantik.

Dorian kini dikesan bergerak ke arah negeri Florida di tenggara AS sebagai hurikan Kategori 4, menurut Pusat Hurikan Nasional, namun mungkin tidak akan membadai mana-mana kawasan secara langsung kerana model komputer menunjukkan ia menuju ke pantai timur sebelum hanyut di lautan.

-- BERNAMA