NEW YORK: Hukuman ke atas Donald Trump dalam perbicaraan jenayah rasuah ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), November depan.

Hakim Juan Merchan pada Jumaat menangguhkan hukuman berkenaan pada 26 November dengan memaklumkan, "rangka masa unik perkara ini pada masa ini" antara alasan penangguhan.

Peguam Trump telah menggunakan beberapa gerakan undang-undang untuk menangguhkan sidang hukuman yang dijadualkan pada 18 September ini.

Juri New York pada Mei mensabitkan Trump atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan sekali gus melakar rekod,kali pertama seorang bekas presiden disabitkan dengan jenayah.

Dalam keputusannya, Hakim Merchan memberi hujah kes itu menuntut "perbicaraan hukuman yang tertumpu sepenuhnya pada keputusan juri."

"Keputusan mereka mesti dihormati dan ditangani dengan cara yang tidak diabaikan oleh pilihan raya Presiden akan datang," kata beliau sambil menetapkan hukuman akan dijalankan tepat tiga minggu selepas pilihan raya pada 5 November.

Trump merupakan Presiden ke-45 AS dan menduduki White House selama satu penggal iaitu pada 2017 - 2021.

Beliau sekali lagi bertanding jawatan Presiden AS mewakili parti Republikan dan akan bertemu dengan lawannya, Kamala Harris dari Demokrat.

Beliau berkata, penangguhan itu perlu "bagi mengelakkan sebarang penampilan - walaupun tidak berasas - bahawa prosiding itu telah dipengaruhi atau bertujuan untuk menjejaskan pilihan raya presiden yang semakin hampir di mana defenda adalah calon.”

“Mahkamah adalah sebuah institusi yang adil, tidak berat sebelah dan tidak berpolitik,” tegas hakim itu lagi.
Trump boleh disabitkan hukuman penjara sehingga empat tahun, tetapi Hakim Merchan juga mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman denda, percubaan atau hukuman penjara yang lebih pendek.

Pendakwa raya dalam kes itu menuduh bekas Presiden itu menyembunyikan bayaran yang dilunaskan kepada Stormy Daniels agar bekas bintang filem lucah itu berdiam diri, pada hari-hari terakhir kempen pilihan raya 2016 beliau.

Daniels memberi keterangan bahawa dia dan Trump melakukan hubungan seks dan dia menerima AS$130,000 daripada bekas peguamnya sebelum pilihan raya 2016 sebagai pertukaran untuk berdiam diri mengenai pertemuan itu.

Pendakwa raya berhujah bahawa, dengan meluluskan  bayaran itu sebagai perbelanjaan undang-undang, Trump melanggar undang-undang pilihan raya.

Tarikh asal hukuman ke atas Trump pada awalnya ditetapkan pada Julai lalu.

Bagaimanapun, peguamnya menangguhkannya selepas keputusan Mahkamah Agung AS yang memberikan Presiden beberapa kekebalan daripada pendakwaan jenayah untuk "tindakan rasmi."

Hakim Merchan membenarkan penangguhan supaya pihak-pihak dapat menyediakan hujah mengenai kesan keputusan Mahkamah Agung terhadap kesnya.

Keputusan mengenai implikasi pula akan dibuat pada 12 November.

Hakim Merchan sebelum ini juga menolak beberapa hujah yang dibuat oleh peguam Trump untuk menangguhkan sebagai "rungutan yang tidak berasas... yang tidak patut diberi perhatian Mahkamah ini".

Tetapi dia menulis bahawa pendengaran hukuman secara rutin ditangguhkan dalam kes lain atas alasan peribadi atau pertindihan jadual rasmi.

"Memandangkan fakta dan keadaan unik kes ini, tidak ada sebab mengapa defendan ini harus dilayan secara berbeza daripada yang lain," kata Hakim Merchan.

Beliau turut menambah bahawa keputusannya untuk menangguhkan "sepatutnya menolak sebarang cadangan" bahawa mahkamah akan membuat keputusan yang akan dilihat menyokong "mana-mana parti politik atau mana-mana calon untuk mana-mana jawatan".

Trump telah berkali-kali menegaskan dia tidak melakukan kesalahan.

Dia memberitahu Fox News selepas keputusan bahawa "kes itu sudah seharusnya ditamatkan."

Di platform media sosialnya Truth Social, bekas Presiden itu mengulangi dakwaannya tidak bersalah, dan menolak kes itu sebagai "pemburuan ahli sihir" dan "serangan politik."

“Kes ini sepatutnya ditamatkan dengan sewajarnya, kerana kita bersiap sedia untuk pilihan raya paling penting dalam sejarah negara kita,” tulis Trump lagi dalam hantaran itu.

Jurucakap Alvin Bragg iaitu peguam daerah Manhattan mengemukakan pertuduhan itu berkata. pasukannya "bersedia untuk menjatuhkan hukuman pada tarikh baharu yang ditetapkan oleh mahkamah.”

Jika Trump kembali ke White House sebagai Presiden AS, beliau akan mempunyai kuasa untuk membebaskan dirinya daripada sebarang jenayah persekutuan yang mungkin telah disabitkan kesalahannya.

Walau bagaimanapun dalam kes di New York - serta kes campur tangan pilihan raya di Georgia - merupakan pertuduhan dan bidang kuasa kerajaan negeri dan Presiden tidak mempunyai keupayaan untuk membebaskan mereka yang disabitkan kesalahan di mahkamah negeri. - Agensi