NEW DELHI: Hujan lebat di Telangana dan Andhra Pradesh di selatan India, mengorbankan 27 nyawa dan menyebabkan kerosakan pada jalan raya, landasan kereta api dan talian kuasa.

Angka kematian akibat hujan lebat sejak Ahad di Andhra Pradesh meningkat kepada 15 pada Isnin selepas enam orang lemas dalam musibah banjir.

Hampir separuh daripada bandar Vijayawada mengalami banjir, lapor media tempatan.

Sekolah ditutup di ibu kota Telangana, Hyderabad ketika bandar itu bersiap sedia menghadapi lebih banyak hujan.

Dua belas orang dilaporkan maut dalam insiden berkaitan hujan di Telangana.

Seorang lelaki dan anak perempuannya dalam perjalanan ke lapangan terbang Hyderabad dengan kereta, dihanyutkan oleh arus deras selepas air sungai melimpah pada Ahad.

Kira-kira 100 perkhidmatan kereta api dibatalkan di negeri selatan kerana landasan kereta api yang rosak dan banjir.

Ketua menteri Telangana A. Revanth Reddy menggesa Perdana Menteri Narendra Modi untuk mengisytiharkan bencana di negerinya.

Lebih 17,000 orang dipindahkan dari kawasan banjir dan 110,000 hektar tanah pertanian rosak di Andhra Pradesh, menurut laporan itu.

-- BERNAMA