KUALA LUMPUR: Hubungan yang baik dengan India akan membantu mempercepatkan Malaysia menjadi sebuah negara maju. 


Ringkasan AI
  • Perdagangan Strategik: India memainkan peranan penting dalam perdagangan pertanian dan makanan yang strategik untuk Malaysia, membantu mengatasi kekurangan hasil pertanian dan keselamatan makanan.
  • Peningkatan Hubungan Diplomatik: Malaysia dan India bersetuju untuk meningkatkan hubungan dari Perkongsian Strategik Dipertingkatkan (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), yang diumumkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India.
  • Penggunaan Mata Wang Tempatan: Kedua-dua negara menyokong lebih banyak perdagangan menggunakan mata wang masing-masing, dengan kemajuan dalam transaksi menggunakan rupee dan ringgit.


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Penganalisis Politik Antarabangsa, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, India memainkan peranan yang penting dari aspek perdagangan berkaitan pertanian dan makanan yang strategik untuk Malaysia. 

"Saya lihat sudah tiba masanya untuk Malaysia lebarkan hubungan perdagangan dengan India kerana kita tahu ada banyak faktor. Misalnya, Malaysia masih kurang dari sudut hasil pertanian dan keselamatan makanan yang mana kita boleh terima manfaat daripada India, memandangkan kita banyak mengimport dari sana. 

“Kita juga lihat isu kelapa sawit yang menjadi tegang apabila India menghentikan import kelapa sawit daripada Malaysia dan Indonesia. Oleh itu, bagi saya apabila hubungan ini diperluaskan melebihi daripada hubungan diplomatik biasa... sudah tentu akan beri kelebihan kepada Malaysia sebagai sebuah negara kecil yang sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.


Hubungan baik dengan India, cepatkan Malaysia menjadi negara maju - Pakar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke India bermula 19 Ogos 2024.

Dalam sidang media bersama Anwar dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, kedua-dua pemimpin mengumumkan Malaysia dan India bersetuju untuk meningkatkan hubungan Perkongsian Strategik Dipertingkatkan (ESP) kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyuarakan sokongan beliau terhadap cadangan agar lebih banyak perdagangan Malaysia-India menggunakan mata wang negara masing-masing.

Bahkan, India-Malaysia sedang mencatat kemajuan dan transaksi kini dapat diselesaikan menggunakan rupee dan ringgit.

Satu kenyataan bersama India-Malaysia pada Selasa menyatakan kedua-dua pemimpin itu dalam perbincangan mereka turut "menghargai kerjasama antara Reserve Bank of India dan Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan dua hala selain menggalakkan industri kedua-dua pihak memudahkan lagi aspek invois dan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan."


Agenda AWANI: Lawatan PM Ke India - Apa Hasilnya?