GAZA: Dianggarkan seramai 1,700 penduduk di Gaza didiagnosis dengan kanser saban tahun.

Memetik laporan TRT News, 40 peratus daripada pesakit tidak mendapat akses menjalani rawatan di luar negara menyebabkan ratusan kematian meskipun boleh dielakkan sejak 15 tahun lalu.

Dalam pada itu, sebuah inisiatif dilakukan dengan pembinaan Hospital Sahabat Palestin-Turki yang membuka pintu kepada pesakit kanser sekali gus bertindak sebagai ‘talian hayat’ untuk ramai pesakit sejak tahun 2020.

Pengarah Hospital Sahabat Palestin-Turki, Sobhi Skaik memaklumkan hospital ini menyediakan rawatan perkhidmatan kemoterapi, pembekalan produk darah serta penjagaan paliatif. Ia adalah isu penting untuk menyediakan penjagaan paliatif dan sokongan psikologi sebanyak mungkin.

“Salah satu masalah utama masih dihadapi oleh pesakit kanser di sini ialah ketiadaan radioterapi. Ramai warga Gaza dilarang melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan tetapi pegawai tempatan bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk membina pusat radioterapi di sebelah hospital,” katanya.



Pesakit kanser, Aya Al Zeer memberitahu dia disahkan menghidap kanser payudara pada 2022 dan menerima rawatan kemoterapi.

“Sekarang saya sedang menunggu pemindahan sumsum. Saya berterima kasih kepada Hospital Turki dan kakitangan yang bekerja di sini terutamanya doktor dan jururawat dan saya berharap hospital ini akan menerima lebih banyak sokongan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesakit kanser, Moamen Abu Arajb memberitahu perkhidmatan di hospital itu adalah terbaik yang mana dia sentiasa menerima rawatan diperlukan tepat pada masanya.

Sekatan di Gaza telah merosakkan banyak infrastruktur hospital di sana. Meskipun hospital ini hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan tetapi ia akan membantu meringankan sedikit penderitaan.

Difahamkan, hospital ini berkeluasan 34,800 meter persegi, dibina dengan lapan blok bersambung, empat bilik bedah, unit rawatan rapi, makmal dan 104 bilik pesakit. Ia juga mempunyai akses kepada golongan profesional Turki apabila diperlukan.