HOUSTON: Dengan hanya tinggal sehari sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Naib Presiden Kamala Harris, calon Demokrat, dan bekas Presiden Donald Trump, calon Republikan, menyampaikan mesej yang berbeza kepada pengundi ketika mereka berkempen di negeri-negeri "medan pertempuran utama."

Trump dijadualkan berada di tiga negeri penentu utama pada Isnin: Pennsylvania, Michigan dan Carolina Utara.

Pada perhimpunan kempen di Lititz, Pennsylvania pada Ahad, Trump memberitahu hadirin beliau "tidak sepatutnya meninggalkan" Pejabat Oval apabila tewas dalam Pilihan Raya 2020 kepada Presiden Joe Biden, satu pilihan raya yang mana Trump terus membuat dakwaan tidak berasas bahawa undian itu dimanipulasi, menurut Anadolu Agency.

Bekas presiden itu meneruskan dakwaannya dengan sekali lagi mendakwa tanpa bukti bahawa Demokrat menipu dalam Pilihan Raya 2024 dan "berusaha keras untuk mencuri perkara ini."

"Mereka membelanjakan semua wang ini, semua wang untuk mesin dan mereka akan berkata, kita mungkin mengambil masa tambahan 12 hari untuk menentukan. Dan apa yang anda fikir berlaku dalam tempoh 12 hari itu? Apa yang anda fikir berlaku?" Trump bertanya kepada hadirin, yang menjawab: "Menipu!"

"Pilihan raya ini mesti diputuskan pada pukul 9 malam, 10 malam, 11 malam pada Selasa malam," kata Trump sambil mendakwa: "Sekumpulan orang yang korup, mereka adalah orang yang korup."

Menurut Anadolu, berbeza dengan Trump, Harris yang juga meluangkan hari terakhirnya sebelum pilihan raya, di Pennsylvania berkempen "untuk menamatkan konflik di Gaza" dengan mengadakan perhimpunan di Allentown, Pittsburgh dan Philadelphia.

Pennsylvania mempunyai populasi Arab dan Muslim yang signifikan, dan menurut pakar politik boleh menjadi kunci untuk memenangi negeri medan pertempuran penting itu dalam usaha menuju ke Rumah Putih.

Harris menghabiskan hari Ahadnya berkempen di Michigan, satu lagi negeri medan pertempuran penting dengan satu daripada populasi Arab dan Muslim terbesar di AS.

Beliau mengakui angka korban dalam Konflik Israel-Palestin di Gaza yang telah meragut lebih daripada 43,000 nyawa rakyat Palestin dan berjanji untuk menangani isu itu dengan segera, jika terpilih sebagai presiden.

"Saya akan melakukan dengan segala kuasa yang ada pada saya untuk menamatkan serangan di Gaza, membawa pulang tawanan, menghentikan penderitaan di Gaza, memastikan keselamatan Israel dan memastikan rakyat Palestin dapat merealisasikan hak mereka untuk hidup bermaruah, bebas, selamat dan dapat menentukan nasib sendiri," kata Harris kepada hadirin.

Harris sentiasa membezakan dirinya daripada Trump dengan menekankan perbezaan antara mereka jika terpilih ke White House.

"Pada hari pertama, jika terpilih, Donald Trump akan masuk ke pejabat itu dengan senarai musuh," dakwa Harris pada perhimpunan sebelumnya di Washington, D.C. "Apabila terpilih, saya akan masuk dengan senarai tugas penuh keutamaan tentang apa yang akan saya lakukan untuk rakyat Amerika."

Pada hari sebelum pilihan raya, pengesan tinjauan 538 yang menyusun semua tinjauan presiden utama di seluruh AS, menunjukkan bahawa Harris dan Trump bersaing sengit dengan Harris mendahului dengan margin tipis, 47.9 peratus berbanding 47.0 peratus untuk Trump.

Di negeri penentu utama Michigan, Harris mendahului Trump dengan margin yang sama, 47.9 peratus berbanding 47.1 peratus, manakala di negeri medan pertempuran penting lain, Pennsylvania, Trump mendahului Harris dengan dua persepuluh mata peratusan, 47.9 peratus berbanding 47.7 peratus.

Dengan margin ralat dalam kebanyakan tinjauan antara tiga hingga lima peratus, kedua-dua calon berada dalam persaingan sengit, menyebabkan mereka terus berkempen di negeri-negeri medan pertempuran sehingga ke garis penamat. - BERNAMA