Harga rokok di Singapura meningkat mulai hari ini, sekali gus menjadikannya antara negara yang jualan rokoknya termahal di dunia.

Ia ekoran peningkatan cukai eksais tembakau sebanyak 10 peratus dalam pembentangan bajet tahunan Singapura oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat bertujuan mengekang penggunaan produk tembakau di negara itu.

Harga baharu rokok di Singapura berkuat kuasa 5.40 petang pada Isnin.

Menurut kenyataan daripada jurucakap Kastam Singapura, harga sebatang rokok meningkat dari 38.8 sen kepada 42.7 sen.

Negara lain dengan harga rokok termahal di dunia adalah Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, dan United Kingdom.