MOSCOW: Vietnam mengecam pemasangan stesen satelit pengecaman kapal automatik oleh China di Kepulauan Paracel juga dikenali sebagai Kepulauan Xisha, di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dan menyifatkan tindakan itu sebagai mencabul kedaulatan Vietnam, kata Jurucakap Kementerian Luar Pham Thu Hang, lapor Sputnik.

"Pemasangan dan pengendalian dua stesen itu di North Reef dan Bombay Reef di Kepulauan Paracel Vietnam melanggar kedaulatan Vietnam ke atas Kepulauan Paracel," kata Hang.

Beliau berkata Vietnam menuntut China menghormati sepenuhnya kedaulatannya ke atas Kepulauan Paracel dan meminta Beijing tidak mengulangi tindakan sedemikian.

"Semua aktiviti di Kepulauan Paracel tanpa kebenaran Vietnam melanggar kedaulatan Vietnam dan tidak sah sama sekali," kata diplomat itu.

Minggu lalu, media melaporkan China telah membina dua stesen darat untuk sistem satelit BeiDou di terumbu di Laut China Selatan yang terlibat dalam isu tuntutan bertindih.

Media China berkata langkah itu akan menghapuskan titik buta dalam sistem pengenalan maritim di rantau itu.

Selama beberapa dekad, China terlibat dalam isu tuntutan bertindih dengan beberapa negara di rantau Asia-Pasifik mengenai kawalan ke atas beberapa pulau di Laut China Selatan yang mempunyai rizab minyak dan gas.

Kawasan utama yang terlibat dalam tuntutan itu ialah Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly.

-- BERNAMA