HANOI: Angka kematian dan jumlah orang hilang akibat Taufan Yagi, banjir dan tanah runtuh telah meningkat kepada 336 setakat pukul 7 pagi Jumaat, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA), memetik data yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Daik Vietnam di bawah Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Jumlah itu merangkumi 233 kematian dan 103 orang hilang.

Wilayah pergunungan utara Lao Cai adalah kawasan paling teruk terjejas dengan 98 kematian dan 81 orang hilang.

Banjir kilat dan tanah runtuh yang dahsyat di perkampungan Lang Nu di Komun Phuc Khanh, Daerah Bao Yen pada 10 September lepas, khususnya mengakibatkan sejumlah 110 orang mati atau hilang.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan lebih 9,000 rumah di seluruh wilayah itu telah ditenggelami air, terhakis atau dihanyutkan oleh banjir. Banyak kampung masih terputus hubungan, dan penduduk tidak dapat bergerak akibat banjir dan tanah runtuh yang menghalang jalan. Jumlah kerosakan harta benda dianggarkan mencecah trilion dong.

Pihak berkuasa Wilayah Lao Cai, bersama pelbagai kementerian dan agensi, terus mengerahkan semua tenaga yang ada untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta mengurangkan impak bencana itu.

Di perkampungan Nu sahaja, seramai 650 orang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat, termasuk 350 penduduk tempatan dan 300 askar dari Wilayah Ketenteraan 2.

Selain tanah runtuh di perkampungan Nu, satu lagi kejadian tanah runtuh di perkampungan Nam Tong di Komun Nam Luc, di Daerah Bac Ha lapan rumah tertimbus sepenuhnya, mengakibatkan tujuh kematian dan 11 kecederaan. Sehingga pagi Khamis, 11 orang masih hilang.

Satu lagi kematian akibat banjir dilaporkan di Wilayah Phu Tho .

Cao Bang mencatatkan 52 mangsa (43 kematian, sembilan hilang), Yen Bai 48 (42 kematian, enam hilang), dan Quang Ninh melaporkan 15 kematian.

-- BERNAMA