Tiga maut manakala puluhan yang lain cedera dalam satu kejadian gempa bumi berukuran 4.4 magnitud yang melanda beberapa wilayah di Jawa Tengah, Indonesia pada Rabu.

Gempa pada kedalaman empat kilometer itu berpusat di 52 kilometer di utara Kebumen.

Kejadian turut menyebabkan 300 bangunan termasuk rumah, sekolah dan masjid musnah dan pihak berkuasa Indonesia mengisytiharkan darurat selama dua minggu di kawasan terjejas.

Agensi Pengurusan Bencana Jawa Tengah melaporkan dua mangsa yang terkorban ialah warga emas manakala seorang lagi mangsa merupakan remaja lelaki berusia 13 tahun yang maut akibat dihempap runtuhan bangunan.

21 mangsa lain sedang menerima rawatan di hospital dan lebih 2,100 mangsa kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Indonesia terdedah kepada gempa bumi kerana lokasinya yang terletak di lingkaran api pasifik.