BIRO Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah mengedarkan foto baharu pistol yang digunakan untuk menembak Donald Trump semasa calon piliha raya Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyertai perhimpunan pada Julai lalu di Butler, Pennsylvania.

Turut diedarkan ialah imej beg galas dan bahan letupan yang ada di dalam kereta penembak itu.

Imej-imej itu diedarkan pada Rabu ketika pegawai FBI memberikan butiran baharu mengenai carian internet Thomas Matthew Crooks beberapa hari sebelum kejadian tembakan dan bagaimana penyiasat menggunakan carian tersebut untuk memahami apa yang berada dalam fikiran Crooks pada hari kejadian.

Gambar-gambar menunjukkan bekalan senjata api yang boleh dilipat, yang menurut penyiasat mungkin telah digunakan untuk menyembunyikan senjata itu di lokasi kejadian.

FBI pada hari Rabu turut memberi penerangan bagaimana penyerang cuba membunuh Trump telah melakukan kajian yang mendalam mengenai acara kempen untuk bekas Presiden AS itu serta Presiden Joe Biden.

Bagaimanapun, penyerang bertindak memberikan "fokus berlebihan" pada perhimpunan Pennsylvania yang terletak hanya 40 minit dari rumahnya.

Kevin Rojek, ejen khas yang bertanggungjawab ke atas Pejabat Lapangan FBI Pittsburgh menjelaskan bagaimana penembak berkenaan melihat perhimpunan Trump sebagai "sasaran peluang."

Pegawai itu, bagaimanapun, masih belum mengenal pasti motif selain memaklumkan, Crooks tidak menunjukkan sebarang "ideologi yang jelas."

"Melalui analisis, kami melihat semua tentang beliau (penembak) - terutamanya carian dalam taliannya - usaha terperinci yang berterusan untuk merancang serangan ke atas beberapa acara, bermakna dia melihat sebarang acara atau sasaran," kata Rojek.

"Dan kemudian, apabila acara ini diumumkan, perhimpunan Trump diumumkan, pada awal bulan Julai, dia menjadi sangat tertumpu pada acara khusus itu dan melihatnya sebagai sasaran peluang."

Pencarian itu, kata Rojek, juga menunjukkan carian terperinci yang dibuat Crooks berhubung lokasi perhimpunan termasuk bangunan tempat Crooks berada ketika dia menembak Trump.

Pada 6 Julai, hampir seminggu sebelum perhimpunan, Crooks mencari dalam talian "dari mana Trump akan  bercakap di Butler Farm Show" serta "podium Butler Farm Show" dan "gambar Butler Farm Show," kata Rojek.

Dua hari kemudian, Crooks mencari maklumat mengenai "AGR International," syarikat yang memiliki bangunan yang dipanjat Crooks sebelum melepaskan tembakan.

Pada 9 Julai, Crooks mencari "kalkulator balistik" sementara keesokan harinya pula, dia mencari maklumat mengenai "cuaca" dan "Butler."

Pegawai FBI juga menolak dengan tegas teori konspirasi mengenai serangan itu dengan tegas menyatakan, tiada penembak kedua yang mensasarkan bekas Presiden pada hari kejadian.

"Saya boleh mengesahkan bahawa tiada penembak kedua," kata Rojek kepada pemberita.

Mengenai motif Crooks, Bobby Wells, Penolong Pengarah Eksekutif FBI Bahagian Keselamatan Negara berkata, penyiasat mempunyai "gambaran yang lebih jelas mengenai pemikiran" tetapi "pada masa ini, FBI belum mengenal pasti motif mahupun sebarang rakan atau sekutu Crooks yang mempunyai pengetahuan lanjutan tentang serangan itu.”

Wells juga menegaskan bahawa "kami tidak melihat sebarang petunjuk bahawa Crooks diarahkan oleh entiti asing."

Apabila ditanya hantaran dalam talian sebelum ini yang kelihatan bersifat politik daripada akaun yang dikaitkan dengan Crooks, Rojek berkata, FBI terus "melihat melalui analisis kami campuran ideologi" Crooks.

"Saya akan katakan bahawa kami tidak melihat ideologi yang jelas dikaitkan dengan subjek kami, sama ada condong ke kiri atau kanan," kata Rojek lagi. - CNN