WASHINGTON: Sekurang-kurangnya empat orang ditembak di sepanjang lebuh raya di negeri Kentucky di selatan Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, kata pihak berkuasa pada Sabtu, ketika polis sedang giat memburu suspek yang dianggap "bersenjata dan berbahaya."

Berdasarkan laporan awal, dianggarkan antara empat hingga enam orang telah ditembak, kata jurucakap Polis Negeri Kentucky, Scottie Pennington kepada media tempatan.

Turut dilaporkan "beberapa mangsa mengalami kecederaan parah" namun, tiada kematian yang disahkan, lapor stesen berita tempatan WYMT, memetik Pejabat Sheriff Laurel County.

Pihak berkuasa ketika ini sedang menjejaki Joseph Couch, 32, yang dianggap sebagai suspek utama dalam insiden tembakan yang menyebabkan penutupan lebuhraya 75 di kedua-dua arah akibat "situasi penembak aktif."

"Dianggap bersenjata dan berbahaya. Jangan sesekali cuba menghampiri (kawasan kejadian).

"Suspek masih belum ditangkap buat masa ini kami menggesa orang ramai untuk kekal di rumah," kata Pennington dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut memberitahu Louisville Courier Journal bahawa "kami tidak tahu di mana (suspek) berada."

Dalam perkembangan sama, Gabenor Kentucky, Andy Beshear meminta orang ramai untuk mengelakkan berada di kawasan yang telah ditutup.

Laurel yang merupakan kawasan luar bandar terletak kira-kira 145km ke selatan bandar Lexington di sepanjang I-75, iaitu laluan utama utara-selatan utama yang merentasi sebahagian timur AS.

Keganasan senjata api adalah perkara biasa di AS, sebuah negara yang mempunyai lebih banyak senjata api daripada jumlah penduduk.

Tembakan ini berlaku hanya beberapa hari selepas tembakan besar-besaran di sekolah menengah Winder, Georgia yang menyebabkan dua guru serta dua pelajar terbunuh, sementara sembilan yang lain cedera. - Agensi