Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley pada Rabu menggesa negara-negara di seluruh dunia memutuskan hubungan mereka dengan Korea Utara semasa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bermesyuarat bagi membincangkan respons badan dunia itu terhadap tindakan negara tersebut melancarkan peluru berpandu jarak jauh baru-baru ini, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Beliau berkata Presiden AS Donald Trump telah meminta Presiden China Xi Jinping menghentikan pembekalan minyak ke Korea Utara.

Haley membuat gesaan itu ketika UNSC mengadakan mesyuarat tergempar berhubung tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu tersebut pada Rabu (waktu Korea), yang dikatakan mampu sampai di mana-mana tempat di AS.

Beliau turut menggesa Majlis Keselamatan membatalkan hak mengundi Korea Utara dalam PBB.

Meskipun AS tidak mahu berperang dengan Korea Utara, duta itu memberi amaran bahawa "diktator Korea Utara semalam telah membuat keputusan yang membawa dunia lebih dekat dengan peperangan, bukan lebih jauh daripadanya."

-- BERNAMA