Hampir dua pertiga pengundi menyokong draf baru perlembagaan Mesir dalam dua pusingan pungutan suara yang diadakan baru-baru ini.

Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir.

Pungutan suara telah diadakan pada 15 dan 22 Disember lepas.

Secara keseluruhannya 63.8 peratus mengundi "ya" untuk draf baru perlembagaan negara itu.

Pililhan raya parlimen kini perlu diadakan dalam tempoh dua bulan.

Jumlah mereka yang keluar mengundi menerusi proses pungutan suara direkodkan tiga puluh dua perpuluhan sembilan peratus.

Pengundi berdaftar Mesir berjumlah 52 juta orang.

Serentak pengumuman rasmi keputusan draf perlembagaan itu ia mengundang protes besar-besaran di kalangan penentang presiden Mohamad Morsi.

Bukan protes biasa tetapi diiringi keganasan.

Kepada mereka keputusan itu mengkhianati revolusi yang menggulingkan Hosni Mubarak daripada tampuk kuasa pada Februari 2011.

Mesir sebelum itu menurut mereka diperintah secara kuku besi.

Para penyokong Morsi pula mengalu-alukan keputusan itu sejak awal dan menganggap ia bakal mengekalkan kestabilan dan memulihkan demokrasi.

Sementara itu Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa supaya pelbagai pihak di Mesir memberi komitmen mereka dalam memastikan proses damai menerusi rundingan boleh dicapai.

Krisis terbaru di Mesir berlaku apabila pada November lalu Morsi meluluskan draf perlembagaan yang memberikannya lebih kuasa.