HAMBURG: Drama tebusan membabitkan seorang kanak-kanak di Lapangan Terbang Hamburg, Jerman berakhir selepas 18 jam.

Polis Jerman berkata, suspek menyerah diri kepada pihak berkuasa sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Kanak-kanak itu, berusia empat tahun, juga tidak alami sebarang kecederaan.

Sebelum ini Lapangan Terbang Hamburg terpaksa ditutup selepas seorang lelaki menyerbu premis itu bersama seorang kanak-kanak yang dijadikan tebusannya.

Lelaki berkenaan bertindak merempuh penghadang keselamatan dengan kenderaannya meluru ke landasan lapangan terbang itu.

Semua pelepasan dan pendaratan pesawat di lapangan terbang dihentikan sejurus selepas kejadian pada 8 malam itu.

Lelaki itu bersama mangsa berada di dalam kereta yang diparkir di bawah pesawat.

Keadaan cemas itu mengakibatkan ramai anggota dan pegawai polis dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.

Siasatan awal mendapati, insiden itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pertikaian hak penjagaan anak.

Sebanyak 286 penerbangan yang membawa lebih 34,500 penumpang terjejas berikutan insiden berkenaan.