Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat meluluskan langkah ke arah memulakan proses membatalkan Obamacare, walaupun timbul kebimbangan berhubung ketiadaan penggantinya dan kos kewangan yang harus ditanggung kerana memansuhkan undang-undang insurans kesihatan diilhamkan Presiden Barack Obama itu.

Dewan tersebut mengundi 227-198 untuk mengarahkan jawatankuasa menggubal undang-undang sebelum 27 Januari yang akan memansuhkan Akta Perlindungan dan Penjagaan Mampu Bayar Pesakit 2010, yang lebih dikenali sebagai Obamacare.

Terdahulu pada Khamis, Dewan Senat telah meluluskan langkah yang sama.

Tiada wakil Demokrat yang menyokong inisiatif itu sementara sembilan wakil Republikan mengundi menentang langkah itu.

Dengan undi ini, Republikan mula mengotakan janji mereka untuk menamatkan Obamacare, yang juga merupakan salah satu janji dibuat bakal Presiden Donald Trump semasa kempennya.

Program itu, yang memberi perlindungan kesihatan kepada lebih kurang 20 juta orang, dibelenggu masalah kenaikan premium insurans dan pengunduran beberapa syarikat insurans besar.

Resolusi yang diluluskan oleh Dewan dan Senat tidak memerlukan kelulusan presiden, kerana ia adalah sebahagian daripada proses belanjawan kongres dalaman.

Tetapi, sebaik sahaja undang-undang memansuhkan Obamacare itu digubal, kedua-dua dewan itu perlu meluluskannya, dan tandatangan presiden akan diperlukan.

Ketika itu, Trump dijangka sudah mengangkat sumpah sebagai presiden.

Beliau sebelum ini menggesa Kongres untuk bertindak segera bagi membatalkan dan menggantikan program parti Demokrat itu.

Obamacare digubal hampir tujuh tahun yang lalu - walaupun dibantah Republikan - dalam usaha untuk memperluaskan perlindungan dan memberi perlindungan baru kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada serta mengalami halangan lain yang menyebabkan mereka tidak mendapat perlindungan insurans.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Dewan telah mengundi lebih daripada 60 kali untuk mengubah atau memansuhkan Obamacare, tetapi ia tidak mungkin dilaksanakan selagi Obama menjadi Presiden dan boleh menggunakan veto ke atas rang undang-undang mereka.