BANGKOK:Pihak polis Thailand menyembur meriam air dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan dalam usaha menghalang mereka daripada melepasi dawai besi dan memasuki kawasan bangunan Parlimen, pada Selasa.

“Penunjuk perasaan telah cuba meredah penghadang dan memasuki kawasan terlarang,” kata jurucakap polis Kissana Phathanacharoen kepada wartawan Reuters.

Menurutnya, demontrasi adalah diharamkan dalam radius 50 meter kawasan berkenaan.

Polis sudahpun memberi amaran kepada penunjuk perasaan agar tidak merosakkan penghadang, namun mereka tidak mengendahkan amaran itu lalu menyebabkan polis melancarkan meriam air dan kemudian menyembur gas pemedih mata, lapor agensi berita nasional Thailand.

Beberapa orang dilaporkan tercedera akibat gas itu dan sudah dibawa ke Pusat Perubatan Erawan Bangkok dengan menaiki ambulans untuk dirawat.

Penunjuk perasaan yang majoritinya golongan muda, termasuk pelajar sekolah menengah dan pelajar universiti, berdemonstrasi bagi menuntut reformasi sistem perlembagaan dan perubahan sistem monarki yang selama ini dianggap tidak boleh disentuh.

Protes yang berlarutan sejak Julai itu turut untuk mendesak Prayut Chan-o-cha meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, selain rombakan Kabinet.