Kementerian Luar Thailand mengulangi gesaannya agar semua pihak bertelagah segera menghentikan serangan balas bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing dan mengembalikan keamanan serta kestabilan di Timur Tengah, sebuah wilayah yang menjanjikan harapan dan potensi untuk masa depan.
"Thailand juga menggesa semua pihak agar berusaha sedaya upaya untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan memastikan pembebasan segera dan tanpa syarat semua tawanan yang masih ditahan, termasuk rakyat Thailand.
"Sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan telah lama menyumbang kepada misi pengaman PBB, Thailand menekankan kepentingan mematuhi resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan," menurut kenyataan kementerian itu di sini pada Khamis.
Selain itu, kementerian berkenaan menyeru agar petugas PBB, pasukan pengaman, dan pekerja bantuan kemanusiaan terus dilindungi .
"Pada saat genting ini, masyarakat dunia berdepan cabaran dan krisis yang rumit dan memerlukan solidariti dan respons antarabangsa yang padu," katanya.
Thailand menggesa semua pihak agar menyelesaikan konflik bersenjata yang sedang berlaku melalui dialog damai dan konstruktif berlandaskan undang-undang antarabangsa dan penyelesaian dua negara, dengan Israel dan Palestin hidup bersama dalam keamanan dan keselamatan.
-- BERNAMA