CALON Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Demokrat, Kamala Harris, menegaskan bahawa perang antara Israel dan Hamas yang telah meragut ribuan nyawa perlu dihentikan segera.

Harris, yang juga Naib Presiden AS itu berkata, penyelesaian dua negara adalah jalan terbaik untuk mengakhiri konflik yang telah meragut ribuan nyawa rakyat Palestin.

“Apa yang kita tahu ialah perang ini mesti berakhir. Ia mesti berakhir serta-merta. Dan cara ia akan berakhir ialah kita memerlukan perjanjian gencatan senjata, dan kita perlu membebaskan tebusan.

“Oleh itu, kami akan terus bekerja siang malam untuk itu. Bekerja siang malam juga dengan memahami bahawa kita mesti merangka penyelesaian dua negara,” katanya dalam debat presiden AS pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konflik yang berlaku di Gaza.

Harris turut menyeru Israel supaya mengambil langkah lebih berhati-hati dalam melindungi orang awam yang tidak bersalah, sambil tetap mempertahankan haknya untuk melindungi diri.

Beliau berkata undang-undang kemanusiaan antarabangsa harus dihormati, kerana terlalu ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah telah terkorban, dengan anggaran kematian mencecah 40,000 orang.

Selain itu, beliau menekankan pentingnya keselamatan rakyat Israel, terutamanya dalam menghadapi ancaman dari Iran.

Beliau menambah bahawa penyelesaian dua negara bukan sahaja akan membina semula Gaza, tetapi juga memastikan keselamatan dan maruah rakyat Palestin terpelihara.