YANGON:Ribuan rakyat Myanmar menyertai tunjuk perasaan di ibu negara, Naypyidaw pada Khamis, sebagai tanda menyokong rampasan kuasa junta tentera yang berlaku baru-baru ini.

Demonstrasi itu memberi gambaran bahawa penerimaan terhadap rampasan kuasa itu agak besar.

Kumpulan penentang junta tentera yang juga penyokong kepada Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi terlebih dahulu telah melarikan diri dari kota pentadbiran Myanmar itu kerana bimbang ditahan oleh pihak tentera.

Bagaimanapun, masih terdapat penjawat awam yang tegas tidak menyokong junta tentera itu seperti para pegawai perubatan.

Di Yangon pula, protes terhadap rampasan kuasa tentera dilakukan dengan bunyian bising seperti memukul kuali dan membunyikan hon kereta.

Sementara itu, junta tentera Myanmar pada Khamis menyekat akses kepada laman sosial Facebook di negara itu atas sebab menjamin kestabilan.

Facebook merupakan platform utama untuk komunikasi dalam kalangan pihak pembangkang dan kumpulan aktivis di negara itu.

Sebelum ini, gerakan yang digelar 'civil disobedience' untuk mencetuskan kekecohan sebagai bantahan terhadap rampasan kuasa tentera dilancarkan menerusi Facebook.


Rampasan kuasa | Junta tentera Myanmar sekat Facebook