WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) dan calon Republikan Donald Trump mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan mereka terhadap cubaan bunuh yang menimpanya pada Ahad di Florida, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas keprihatinan dan ucapan selamat anda -- Ia sememangnya hari yang menarik!" beliau memuat naik di platform Truth Socialnya.

"Paling penting, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perkhidmatan Rahsia AS, Sheriff Ric Bradshaw dan Pejabat Patriot yang berani dan berdedikasi serta semua penguat kuasa undang-undang, atas kerja luar biasa yang dilakukan hari ini di Trump International (Kelab Golf) dalam memastikan saya, sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 dan Calon Republikan dalam Pilihan Raya Presiden yang akan datang, SELAMAT," katanya.

"Kerja yang dilakukan adalah benar-benar luar biasa," tambahnya.

Trump adalah sasaran apa yang dikatakan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) "cubaan bunuh" di kelab golfnya di West Palm Beach, Florida.

Terdahulu, Trump berkata beliau berada dalam keadaan "selamat," sambil menambah terdapat "tembakan berhampiran saya, tetapi sebelum khabar angin menjadi tidak terkawal, saya mahu anda dengar perkara ini terlebih dahulu: SAYA SELAMAT DAN SIHAT!"

Pegawai penguat kuasa undang-undang di Florida memberitahu wartawan bahawa mereka menahan seorang suspek yang dikesan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia AS dengan sepucuk rifal AK-47 di luar kelab golf Trump.

Kakitangan Perkhidmatan Rahsia AS melepaskan tembakan ke arah lelaki bersenjata itu yang berada berhampiran sempadan hartanah, kata seorang pegawai Perkhidmatan Rahsia.

Sherif Palm Beach County Ric Bradshaw berkata lelaki bersenjata itu kemudian menjatuhkan rifalnya, dua beg galas dan kamera GoPro dan melarikan diri dengan SUV hitam.

Sheriff berkata seorang saksi melihat lelaki bersenjata itu dan berjaya mengambil gambar kereta dan nombor platnya. Suspek kemudian ditahan oleh pihak berkuasa di daerah jiran.

"Kami mempunyai seseorang dalam tahanan sekarang yang berpotensi menjadi suspek," kata Bradshaw.

Beliau berkata Trump berada antara 400-500 ela (365 hingga 457 meter) daripada lelaki bersenjata itu, yang mengacukan senjata melalui pagar di padang golf Trump.

Suspek dikenal pasti sebagai Ryan Wesley Routh, 58, dari Hawaii, lapor The New York Times dan Fox News, memetik pegawai penguat kuasa undang-undang yang tidak dinamakan.

Presiden Joe Biden serta Naib Presiden dan calon Demokrat Kamala Harris telah diberi taklimat mengenai insiden itu, dan mereka "lega" kerana Trump "selamat."

Biden berkata beliau mengarahkan pasukannya untuk terus memastikan bahawa Perkhidmatan Rahsia mempunyai setiap sumber, keupayaan dan langkah perlindungan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan berterusan Trump.

Trump cedera semasa percubaan membunuh pada perhimpunan kempen pada Julai.

Thomas Matthew Crooks, seorang lelaki bersenjata berusia 20 tahun, melepaskan tembakan ke arah Trump semasa perhimpunan kempen di Butler County, Pennsylvania pada 13 Julai, mencederakan telinga kanannya.

Laporan selepas itu mencadangkan bahawa Trump secara kebetulan telah memusingkan badannya apabila pistol itu dilepaskan, mungkin mengelakkan kecederaan yang lebih serius.

Lelaki bersenjata itu membunuh seorang penonton dan mencederakan dua yang lain. Selepas melepaskan tembakan, Crooks dibunuh di tempat kejadian oleh ejen Perkhidmatan Rahsia.

-- BERNAMA