Ia berpotensi menjejaskan sektor pertanian, pelancongan dan pengeluaran industri di rantau ini yang sudah pun terkesan akibat beberapa siri ribut tahun ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Pusat Meteorologi Khas ASEAN.
Ahli meteorologi meramalkan keadaan lebih lembap di kawasan Filipina hingga Vietnam sehingga November, terutamanya disebabkan oleh fenomena La Nina, yang membawa lebih banyak hujan ke rantau itu.
Keadaan ini berkemungkinan mengganggu usaha pemulihan di Vietnam, yang baru sahaja dilanda Taufan Yagi pada September lalu.
Taufan itu dikatakan paling dahsyat dalam tempoh beberapa dekad, dengan kerosakan dianggarkan melebihi 81 trilion VND (hampir US$3.3 bilion).
Thailand, yang bergantung kepada sektor pelancongan mengalami kerugian sebanyak 30 bilion THB (AS$904 juta) akibat banjir di kawasan Utara.
Fenomena La Nina dijangka berlaku dari Oktober hingga November 2024, dengan peningkatan hujan di beberapa negara di rantau ini, menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN.
Singapura mengeluarkan amaran banjir pada 14 Okt kerana tempoh monsun membawa kilat dan ribut petir ke negara itu.
Agensi cuaca Filipina meramalkan sebahagian besar kepulauan itu mengalami hujan melebihi purata sehingga hujung tahun dan 160 peratus melebihi purata pada Januari.
Peningkatan kekuatan siklon tropika di Lautan Pasifik mendorong perniagaan dan kerajaan di rantau ini untuk mempertimbangkan pendekatan baharu bagi melindungi daripada ribut.
-- BERNAMA