BANGKOK:Thailand membelanjakan kira-kira 20 juta baht (RM2.7 juta) sehari untuk menguji kira-kira 10,000 orang setiap hari di wilayah Samut Sakhon dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakon, berkata pihak berkuasa kesihatan awam sedang menjalankan pengesanan kes aktif di wilayah barat daya Bangkok itu iaitu pusat wabak terbaru di negara itu bermula minggu lalu.

“Pihak berkuasa mengesan antara 700 dan 800 kes positif daripada 10,000 ujian harian dilakukan di wilayah tersebut. Program saringan ini akan diteruskan di kawasan berisiko rendah seperti kilang dan komuniti,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini semalam.

Setakat ini, lebih 12,000 kes COVID-19 dikesan di Samut Sakhon sejak pertengahan Disember lalu.

Sementera itu, Natapanu berkata Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam telah menutup tujuh kilang sehingga akhir bulan ini, melibatkan lebih 50,000 pekerja migran dari Myanmar.

“Ini berikutan pengesanan 9,000 kes aktif di tujuh buah kilang tersebut. Pekerja tidak dibenarkan keluar daripada kawasan kilang bagi membendung penularan wabak ini,” katanya.

Thailand merekodkan 809 kes baharu COVID-19 dan sifar kematian dalam tempoh 25 jam lalu, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara mencecah 22,058 kes dan 79 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada jumlah kes harian terbaharu itu, 796 adalah penularan tempatan termasuk 751 menerusi pengesanan aktif dan 45 orang yang mendapatkan rawatan di hospital serta 13 kes import.

-- BERNAMA