PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran Eropah akan dilanda gelombang kedua COVID-19 jika orang ramai terus ingkar peraturan langkah kawalan.

Badan dunia itu menggesa setiap orang berdisiplin selepas didapati berlaku peningkatan ketara jangkitan koronavirus di Eropah berbanding dua bulan lepas.

Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge berkata, minggu lalu jumlah kes meningkat 10 peratus, didorong peningkatan pergaulan, perjalanan, perhimpunan dan kelonggaran sekatan sosial.

Tambahnya, peningkatan kes berlaku disebabkan varian Delta yang kali pertama dikesan di India dan sangat mudah tersebar berbanding Alpha, julung kali dikesan di Britain.

"Penurunan kes COVID-19 selama 10 minggu berturut-turut di 53 negara di wilayah Eropah WHO telah berakhir.

"Minggu lalu, jumlah kes meningkat 10 peratus, didorong peningkatan pergaulan, perjalanan, perhimpunan dan kelonggaran sekatan sosial.

"Ini terjadi dalam konteks situasi varian Delta yang mudah tersebar, di wilayah di mana, walaupun ada usaha luar biasa oleh negara-negara anggota, jutaan rakyatnya masih belum divaksinasi.

"Delta mengatasi Alpha dengan sangat cepat melalui pengenalan yang pelbagai dan berulang, mengakibatkan lebih ramai yang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia," katanya. 

Malah, ujar Kluge, varian Delta mampu menjadi dominan di Eropah yang terdiri dari 53 negara dan wilayah, termasuk beberapa negara di Asia Tengah, menjelang Ogos ini.

Bercakap di Copenhagen, Denmark pada Khamis, beliau turut mengaitkan keadaan itu dengan pemberian vaksin di wilayah WHO di Eropah di mana purata pemberiannya hanya 24 peratus.

Ujar beliau, separuh daripada warga emas dan 40 peratus petugas kesihatan masih lagi belum dilindungi.

Ini katanya, tidak dapat diterima dan jauh daripada purata 80 peratus perlindungan sepenuhnya kepada penduduk yang disyorkan.