SEREMBAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan untuk mencapai sejuta pencarum bagi kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO Roshaimi Mat Rosely berkata setakat 27 Sept lepas, seramai 693,969 individu telah berdaftar sebagai pencarum aktif OBS di seluruh negara.

"Jumlah ini menunjukkan trend peningkatan pencarum baharu yang semakin memberangsangkan," katanya ketika ditemui media pada Majlis Libat Urus dan Jalinan Mesra PERKESO Bersama Media Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Roshaimi juga menjelaskan bahawa jumlah pencarum OBS dijangka akan terus meningkat, terutamanya dengan pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk penjaja dan peniaga berlesen yang akan bermula pada 1 Jan tahun depan.

Beliau berkata sesi libat urus dengan semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tahun ini akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran kepada mereka bekerja sendiri termasuk peniaga serta penjaja.

Roshaimi berkata pihaknya juga giat meneruskan promosi kepada OBS termasuk kepada para pengamal media sambilan bagi meningkatkan kesedaran mencarum dengan PERKESO.

Menurutnya pelbagai inisiatif dapat dimanfaatkan terutamanya mereka berkerja sendiri dengan perlindungan keselamatan sosial jangka panjang yang bersifat komprehensif.

-- BERNAMA