BANGKOK: Sub varian Omicron BA.2 kini varian dominan di Thailand, menyumbang kira-kira 52 peratus daripada jumlah kadar jangkitan akibat COVID-19.

Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan, Kementerian Luar, Maratee Nalita Andamo berkata sub-varian BA.2 dilihat lebih mudah menular berbanding sub-varian BA.1 dan menjadi dominan di negara gajah putih itu.

"Menurut ketua pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Supakit Sirilak, sub-varian BA.2 menyumbang 51.8 peratus kes membabitkan varian Omicron manakala BA.1 menyumbang 48.2 peratus jangkitan," katanya pada sesi taklimat harian COVID-19, di sini, hari ini.

Data menunjukkan varian Omicron menyumbang 99.6 peratus daripada keseluruhan kes.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 22,984 kes baharu menerusi ujian RT-PCR dan 74 kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 3,111,857 kes dan 23,512 korban sejak wabak itu melanda pada 2020.

Selain itu, seramai 49,494 orang disahkan positif COVID-19 melalui kit ujian antigen.

Bagaimanapun, angka itu tidak termasuk dalam jumlah kes harian.

Sementara itu, Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan Thailand (NHSO) mendedahkan bahawa pihaknya telah membayar 1.51 bilion baht (AS$45.60 juta) kepada 12,714 mereka yang mengalami kesan sampingan selepas menerima vaksin COVID-19.

Seramai 15,933 orang telah memfailkan aduan setelah mengalami kesan sampingan selepas menerima vaksin COVID-19 dari 19 Mei 2021 hingga 8 Mac tahun ini, menurut NHSO.

"Sementara itu, 2,328 aduan telah ditolak kerana kesan sampingan tiada kaitan dengan vaksinasi. Sebanyak 891 kes lagi dalam pertimbangan," menurut laporan portal berita Inggeris, The Nation memetik NHSO.

-- BERNAMA