FRANKFURT: Jerman perlu merombak strategi vaksinasi COVID-19 dalam usaha menangani varian Omicron.

Dalam masa yang sama Menteri Kesihatan, Karl Lauterbach berkata, negara itu perlu memastikan vaksin baharu dapat dibangunkan dengan pantas bagi mendepani ancaman varian koronavirus yang lebih serius pada masa depan.

Lauterbach, yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan bulan lalu berkata, kerajaan merancang untuk meletakkan sistem tetap untuk membeli dan menyediakan suntikan dengan cepat pada bila-bila masa kerana mungkin terdapat varian baharu yang serius.

Tambah beliau, orang ramai tidak boleh jatuh ke dalam andaian naif bahawa pandemik itu akan berakhir tidak lama lagi kerana realitinya ia belum berakhir.

Jerman menutup pusat vaksinasi besar di beberapa negeri pada musim panas lalu apabila permintaan untuk suntikan COVID-19 merosot seketika sebelum meningkat semula.

Varian Omicron kini menyumbang 44 peratus daripada jangkitan koronavirus di Jerman.

Pada Sabtu, 55,889 jangkitan COVID-19 yang baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam, lebih daripada dua kali ganda jumlah seminggu sebelumnya.

Ini mendorong Canselor Olaf Scholz dan pemimpin wilayah mengetatkan peraturan untuk lawatan ke restoran dan bar pada Jumaat sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan lebih ramai orang mendapatkan vaksinasi ketiga, atau suntikan penggalak.

BACA: COVID-19: Jerman ketatkan sekatan susulan penularan pantas Omicron

Dewan Rendah Parlimen Bundestag juga akan membincangkan draf rang undang-undang untuk mandat vaksinasi am tidak lama lagi.