PERDANA Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson memberi bayangan bahawa sekatan berkaitan COVID-19 akan dilonggarkan menjelang akhir Julai nanti.

Bagaimanapun, perkara itu hanya akan diputuskan pada 12 Julai ini.

Namun, di sebalik desakan untuk menarik semula sekatan, pihaknya menjangkakan negara itu bakal berdepan peningkatan kes jangkitan sehingga 50,000 sehari bermula 19 Julai nanti.

Jelasnya, usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 masih jauh dan belum berakhir.

"Kita masih jauh lagi untuk memerangi COVID-19. Ia tidak akan berakhir pada 19 Julai nanti seperti yang kita jangkakan pada Februari. Kita sedang menyaksikan peningkatan kes secara drastik.

“Kita mungkin boleh mencecah 50,000 kes setiap hari menjelang 19 Julai nanti. Dan sekali lagi, seperti yang dijangkakan, kita akan menyaksikan peningkatan kes di hospital dan kita perlu bersedia dengan lebih banyak kematian akibat COVID-19.


Justeru, katanya, kemungkinan untuk beralih ke fasa 4 pada 12 Julai masih boleh dilaksanakan memandangkan program vaksinasi negara itu kini dilaporkan berkesan mengurangkan penularan.

Sementara itu, arahan bekerja dari rumah juga dijangka ditarik semula.

Ini bermakna, penduduk boleh kembali ke pejabat apabila kelonggaran itu dilaksanakan bermula 19 Julai nanti.

“Tiada lagi keperluan buat kerajaan mengarahkan orang awam untuk bekerja dari rumah, jadi majikan boleh mula merancang pelan selamat untuk kembali ke pejabat.

“Tiada pensijilan COVID-19 diperlukan sebagai garis panduan untuk memasuki satu-satu pejabat atau majlis walaupun syarikat boleh menggunakan sistem sedia ada termasuk aplikasi NHS yang memberikan pensijilan COVID-19 untuk memaparkan status terkini anda,” jelas Johnson.


Pada masa sama, Johnson turut memberi bayangan bahawa tidak lagi mewajibkan penggunakan pelitup muka.

Namun, masih ada beberapa pihak yang menggesa penggunaan pelitup muka terutamanya di kawasan-kawasan tertutup.

Keputusan rasmi akan dicapai pada 12 Julai ini.