INDONESIA merekodkan 1,902 kes jangkitan baharu COVID-19 pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu sebanyak 144,945 kes.

Berdasarkan data dikeluarkan kementerian, 69 kes kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 6,346 kes.

Jakarta merekodkan 551 kes baharu, menjadikan 31,016 kes setakat ini, manakala Jawa Timur mencatatkan 335 kes baharu, Jawa Tengah 131 kes, Jawa Barat 104 kes, Kalimantan Timur 91 kes, dan Kalimantan Selatan 82 kes.

Pandemik COVID-19 kini merebak ke 31 wilayah di negara itu.

Sementara itu, Singapura melaporkan 68 jangkitan baharu pada tengah hari Khamis termasuk dua kes import.

Sebilangan besar kes baharu itu merupakan pemegang permit kerja yang kini berada dalam kuarantin.

Kementerian Kesihatan (KKM) Singapura memaklumkan jumlah kes pada hari Khamis adalah yang terendah sejak 12 Ogos.

Ini juga merupakan kali ketiga dalam seminggu terakhir tidak ada kes tempatan dilaporkan.

Jumlah kes COVID-19 di Singapura kini 56,099 kes dengan 27 kematian.

Thailand pula merekodkan tujuh kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,389 kes.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 memaklumkan kes tersebut berasal dari Mesir, Hong Kong, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesakit dari Mesir itu adalah seorang pelajar wanita Thailand berusia 21 tahun yang tiba pada 17 Ogos.

Sementara, pesakit dari Hong Kong itu adalah pelancong lelaki berusia 33 tahun yang melancong ke China pada Februari lalu.

Dua kes baharu dari Singapura adalah pekerja lelaki, kedua-duanya berusia 51 tahun.

Mereka tiba pada 7 Ogos dalam penerbangan yang sama dengan kes yang disahkan sebelumnya dan dikuarantin di Chon Buri.

Tiga kes baharu dari UAE adalah pekerja lelaki berusia 28, 38 dan 46 tahun.