JAKARTA: Negara jiran Indonesia mencatatkan 1,025 kes kematian akibat COVID-19 hari ini, sekali gus menjadi rekod tertinggi serta menjadikan angka kumulatif sebanyak 71,000.

Manakala 54,000 kes positif baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 2.78 juta.

Menurut Menteri Kesihatan, Budi Sadikin, bekalan ubat-ubatan COVID-19 seperti Remdesivir dan Tocilizumab semakin berkurangan susulan lonjakan kes.

Justeru itu, Indonesia kini mengadakan rundingan bersama China dan India untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan.

Pada masa yang sama, kerajaan turut melarang solat berjemaah pada Hari Raya Aidiladha minggu depan di semua zon merah dan jingga yang berisiko tinggi.

Masyarakat Islam di kawasan berisiko juga dinasihatkan supaya tidak melaksanakan ibadah korban.

Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas turut mengumumkan pelan untuk mengubah 27 pusat haji kepada hospital COVID-19 dan pusat isolasi.

Pusat-pusat haji di Indonesia menempatkan jemaah haji yang membuat perjalanan dari luar bandar sebelum bertolak ke Arab Saudi.