BANGKOK: Thailand dalam tempoh 24 jam lalu merekodkan sejumlah 11,397 kes baharu COVID-19 dan 101 kematian, menurut Kementerian Kesihatan Awam pada Ahad.

Portal berita BangkokPost.com melaporkan, daripada jumlah itu, 11,079 kes adalah dalam kalangan populasi umum manakala 318 kes melibatkan banduan penjara.

Sejak 1 April, Negara Gajah Putih itu bergelut dengan impak gelombang ketiga COVID-19 dan sepanjang tempoh itu sudah mencatatkan sebanyak 374,523 pesakit keseluruhannya.

Bagaimanapun, sejumlah 256,484 orang telah sembuh.

Sejak pandemik bermula pada awal tahun lalu, Thailand mencatatkan 403,386 kes jangkitan, dengan 283,910 daripadanya sudah sembuh.

Angka kematian adalah sejumlah 3,247 sepanjang tempoh gelombang ketiga ini, sedangkan jika dikira sejak pandemik bermula, jumlahnya adalah 3,341 orang.

Pada Sabtu, angka kes harian COVID-19 adalah 10,082.

BACA: Peningkatan semula kes COVID-19 jejas prestasi ekonomi negara-negara Asia Pasifik pada suku ketiga