BEIJING: China menggesa rakyatnya yang merupakan individu berumur 60 tahun ke atas untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada kaedah menangani gelombang jangkitan yang meningkat di seluruh negara selepas melonggarkan sekatan strategi sifar COVID.

Antara tindakan diambil adalah dengan pihak berkuasa melakukan kunjungan rumah ke rumah untuk menggesa warga emas mendapatkan vaksin.

Tindakan itu dilakukan susulan masih terdapat ramai warga emas teragak-agak dan bimbang kesan sampingan vaksin tersebut.

China telah menyertai negara lain dalam merawat kes dan bukan menghentikan penularan virus dengan melonggarkan peraturan mengenai ujian saringan, kuarantin dan pergerakan kerana ia cuba memulihkan kemerosotan ekonomi.

Tetapi perubahan itu telah membanjiri hospital dengan pesakit COVID-19.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan mengumumkan kempen pada 29 November untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam  kalangan warga China yang lebih tua

Suruhanjaya itu hanya merekodkan enam kematian akibat COVID-19 bulan ini, menjadikan jumlah kematian rasmi negara itu kepada 5,241.

Berdasarkan bancian 2020, China mempunyai 191 juta orang yang berumur 65 tahun ke atas.