Guterres mengingatkan bahawa kegagalan untuk mencapai persetujuan akan merencatkan tindakan jangka pendek serta pelan tindakan iklim yang baharu.
“Perbezaan pandangan masih wujud, tetapi kita perlukan dorongan besar untuk mencapai pakej yang menyeluruh dan seimbang dalam semua isu tertunggak, dengan matlamat pembiayaan baharu sebagai terasnya,” kata beliau dalam sidang media.
Katanya, kerangka kewangan iklim yang dipersetujui kelak, harus merangkumi komponen-kompenen yang dapat menggerakkan pembiayaan yang diperlukan negara-negara membangun
“Peningkatan pembiayaan adalah penting bagi membolehkan semua negara dapat menjalankan pelan perancangan untuk mengekang kenaikan suhu global sebanyak 1.5 darjah Celsius.
"Selain itu, pembiayaan ini juga akan mempercepatkan peralihan tenaga yang adil dan membantu semua negara melindungi diri mereka daripada bencana iklim," ujar beliau.
Guterres mengingatkan bahawa pembiayaan iklim bukanlah satu bentuk bantuan, tetapi satu pelaburan untuk menghindari kemusnahan yang bakal dibawa oleh perubahan iklim yang tidak terkawal.
“Ini adalah COP untuk menegakkan keadilan dalam menghadapi bencana iklim dan untuk membawa kita lebih dekat kepada usaha menjamin dunia yang lebih baik untuk semua manusia.”
“Ia adalah deposit untuk masa depan yang lebih selamat dan makmur bagi setiap negara di bumi ini,” katanya.
Para perunding harus mencapai kata putus dan memuktamadkan rundingan sebelum COP29 berakhir pada Jumaat.