Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mempertahankan keputusan yang diambil dalam menangani serangan di Kedutaan Amerika Syarikat di Benghazi, pada 11 September tahun lalu.

Beliau dalam nada tinggi, turut menempelak anggota Republikan yang menuduh pentadbiran Barack Obama telah memberikan maklumat salah berhubung serangan itu.

Clinton berkata demikian di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Beliau berkata ketika memberi keterangan berhubung serangan 11 September lalu di Kedutaan Amerika di Benghazi.

Serangan itu mengakibatkan Duta Amerika ke Libya, Christopher Stevens dan tiga pegawai kedutaan yang lain terkorban.

Clinton turut diasak oleh anggota Republikan kenapa jabatannya meminggirkan amaran mengenai keperluan meningkatkan keselamatan di pos-pos berisiko tinggi.

Insiden itu menjadi isu dalam kempen pilihan raya Presiden tahun lalu.

Ia juga mengakibatkan Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Susan Rice menarik diri daripada pencalonan bagi menggantikan tempat Clinton.

Clinton bakal menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Negara dalam masa dua minggu lagi.