BEIJING: Beijing akan "mempertimbangkan" untuk menarik balik sekatan visa terhadap warga Korea Selatan, menurut Kementerian Luar China pada Jumaat.

Langkah itu sebagai tindak balas kepada rancangan Seoul yang akan menyambung semula pengeluaran visa jangka pendek untuk pelancong dari China, lapor Yonhap.

"Memansuhkan sekatan visa Korea Selatan ke atas warga China adalah langkah yang tepat untuk mengurangkan halangan kepada rakyat kedua-dua negara melakukan perjalanan," kata jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning pada taklimat media.

Berikutan itu, beliau berkata Beijing akan "mempertimbangkan" untuk menyambung semula pengeluaran visa jangka pendek untuk rakyat Korea Selatan mengunjungi China, selari dengan keputusan Seoul.

Terdahulu, Korea Selatan mengumumkan akan memulakan semula pengeluaran visa berkenaan pada Sabtu.

Pada awal Januari, Korea Selatan mengetatkan sekatan ke atas pelancong dari China di tengah-tengah lonjakan jangkitan COVID-19 di negara itu.

Susulan itu, China pula bertindak menggantung pengeluaran visa jangka pendek untuk rakyat Korea Selatan.

-- BERNAMA