BEIJING: China akan terus menyumbang lebih banyak sumber kepada kerjasama pembangunan global dan bersinergi dengan masyarakat antarabangsa untuk memantapkan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (GDI).

Demikian kata Presiden China Xi Jinping menerusi perutusan tahniah sempena perasmian persidangan peringkat tinggi edisi pertama Forum Tindakan Global untuk Pembangunan Berkongsi, di sini, hari ini.

Beliau berkata China berikrar membuat sumbangan baharu untuk merealisasikan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengikut jadual, sambil menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Xi berkata pemulihan ekonomi sejagat kini agak perlahan, sementara agenda pembangunan global berdepan pelbagai cabaran.

GDI menyasarkan untuk membina konsensus kerjasama dan memacu pembangunan bersama dalam usaha mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

"Saya gembira melihat hasil dicapai dalam kolaborasi di bawah rangka GDI pada fasa awalnya, yang membawa limpahan manfaat kepada banyak negara membangun," kata beliau.

Xi turut menyifatkan pembangunan berkongsi sebagai wahana penting untuk membina dunia yang lebih baik.

"Selaku negara membangun terbesar, China komited mencipta peluang baharu kepada dunia menerusi pembangunan sendiri," katanya.

Persidangan berkenaan dianjurkan oleh Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA) dengan tema 'Inisiatif China, Tindakan Global'.

-- BERNAMA