Mereka adalah pasangan muda yang menarik terutama apabila kedua-duanya membonceng motosikal 350cc Royal Enfield Thunderbird yang menarik perhatian.
Pasangan ini juga merupakan kasta campuran.
Untuk mendapatkan restu ibu bapa dalam berpasangan bukannya suatu yang mudah. Seperti mana dijelaskan Jabaraj: "Asal usul kasta anda mengikut anda, walaupun anda sudah bertukar agama. Kasta saya sendiri, Nadar, dikenali keras menentang Dalit, dan bapa saya, tentunya, dia lebih bimbang mengenai apa yang saudara mara akan fikir, tertekan dengan apa yang akan masyarakat kata. Tetapi, kehidupan bandar berbeza daripada di kampung."
Bersama dengan anak mereka yang berusia sepuluh tahun, pasangan itu hidup di sebuah rumah bergabung keluarga tiga tingkat di tengah-tengah kesibukan Tambaran, sebuah kawasan pinggiran kota Chennai. Ia adalah tempat penuh dengan kehidupan. Kakak-kakaknya yang telah berlahwin tinggal berhampiran dan rumah itu sibuk dengan aktiviti: terdapat pelawat di sepanjang hari hinggalah awal malam.
Jabaraj tidak pernah berhasrat untuk menjadi pekerja sosial sebelum ini.
"Saya adalah seorang nerd. Ketika mana orang lain keluar bermain, saya berada di sisi komputer. Saya hanya hendak membuat statistik dan pengkomputeran. Saya sebenarnya tidak pernah mempunyai minat yang lain. Bagaimanapun, saya gagal semester akhir saya di kolej."
Sebelum itu, saya percaya dengan banyak perkara saya belajar di sekolah dan kolej. Saya pergi ke sekolah RSS (persatuan nasionalis Hindu yang didokong oleh BJP). Pengetuanya adalah seorang kawan pada bapa saya. Mereka mengajar kami lagu-lagu patriotik dan pemujaan. Saya juga diajar bahawa saya adalah seorang Kristian 'Hindu'.
"Tidak ada yang membuat saya meragui dunia di sekeliling saya. Tetapi seperti apa yang telah berlaku, saya pergi ke sebuah kem yang mempunyai pandangan agama liberal di sekitar masa saya gagal di kolej dan pada masa itu saya menjadi lebih sedar mengenai politik di India. Saya mula melalui pengalaman yang berbeza."
Tidak lama kemudian, Jabaraj meneroka dunia kerja sosial, dan bertemu bakal isterinya, Semmalar.
"Saya punyai semua idea-idea ini. Kami berada di sekolah desa membantu kanak-kanak. Semmalar adalah rakan saya di kerja lapangan. Beliau adalah dari sebuah keluarga yang mana bapanya adalah seorang atheis. Beliau adalah seorang ahli kesatuan berkedudukan tinggi. Saya dan Semmalar bercakap mengenai isu dan politik. Beliau mahu kerja psikologi dan membantu orang. Kami membina hubungan kami dari situ."
Gaya Jabaraj yang tenang dan bergaya sederhana menyembunyikan beberapa pandangannya yang tegas. Apabila ditanya sama ada beliau India dahulu atau Tamil dahulu, katanya pendiriannya jelas: "Saya, Tamil dahulu. Jika tidak, saya tidak fikir sangat mengenai sempadan."
India Selatan -- pusat negeri-negeri Dravidia terdiri daripada Tamil Nadu, Kerala, Karnataka, Telangana dan Andhra Pradesh --- sudah lama dikenali dengan ethos yang lebih progresif. Dari segi budaya, wilayah Selatan itu adalah berbeza. Bahasa Tamil adalah jauh lebih tua daripada Hindi. Tradisi penulisannya bermula ribuan tahun dahulu. Penyair kurun ketiga sebelum Masihi, Thiruvalluvar dengan falsafah moralnya yang luas kekal menjadi bacaan wajib bagi anak muda Tamil.
Malah, India Selatan pada umumnya jauh lebih berpendidikan, sihat dan kaya daripada wilayah senegaranya di utara. Uttar Pradesh, negeri terbesar India di utara --- mempunyai Indeks Pembangunan Manusia (atau HDI) sebanyak 0.583, sebanding dengan Kemboja. Berbeza dengan HDI Tamil Nadu yang berada di sekitar 0.708 dan jirannya Kerala yang mencatat HDI berjumlah 0.784, tidak jauh daripada Malaysia, menurut Laporan Pembangunan Manusia UNDP 2018 dan Pangkalan Data Kawasan Pecahan Kecil Nasional India HDI dari Makmal Data Global.
Kemajuan sosial memberi kesan positif kepada kehidupan ekonomi negeri. Dengan penduduk hampir lapan puluh juta, Tamil Nadu merupakan penjana kuasa ekonomi dengan kadar pertubuhan (12.3 peratus) beranggaran lebih tinggi daripada tahap nasional (7.2 peratus). Malah, GDP-nya (ASD256 bilion) hanya kedua selepas Maharashtra, negeri yang berpusatkan Mumbai. Tentunya Tamil Nadu menjadi magnet kepada pelaburan asing dan ekonomi negeri yang baru muncul. Sebagai contoh, ia menjadi pusat pembuatan automatif India, dengan sedikit lebih daripada 30 peratus kapasiti keseluruhan republik itu.
Tetapi Jabaraj kekal kritikal terhadap cara di mana identiti Tamil dibiaskan melalui kanta kasta atasan: "Apabila orang membayangkan budaya Tamil, mereka cenderong untuk fikir mengenai kemeja sutera, sari sutera dan veshti (lunghi) sutera. Tetapi bagaimana aksesnya perkara-perkara ini kepada golongan miskin dan berapa banyak budaya Tamil Dalit dimasukkan ke dalam gambaran ini? Kesemua apa yang mereka tunjukkan adalah identiti kasta dominan sebagai budaya Tamil. Selain daripada bahasa, kita tidak memiliki apa pun."
Beliau juga sama-sama skeptikal terhadap cara kontroversi Jallikattu (Jallikattu ialah sukan "penjinakan" lembu jantan yang unik di Tamil Nadu) yang telah dimanipulasikan oleh para aktivis pada 2017 lalu. Ia diharamkan oleh Mahkamah Agung dan protes yang berlaku ekoran itu menjadi tarikan untuk menyalurkan kemarahan anti-Delhi/anti-Modi. Bagaimanapun, bagi Jabaraj, Jallikattu adalah lebih merupakan suatu tradisi kasta atasan dan suatu yang jelas, ia meminggirkan penyertaan Dalit.
Dengan pilihan raya semakin hampir, Jabaraj prihatin terhadap percubaan untuk mempolarisasikan penduduk menurut garisan kasta. "Narendra Modi dan BJP cerdik menggunakan media sosial. Mereka menghebahkan pembohongan seolah-olah ia merupakan kebenaran. Syukurnya, manipulasi sinis ini tidak berkesan dengan baik di kota-kota. Tetapi media sosial menampilkannya atas nama budaya. Kesemuanya menjadi lebih fanatik."
Sungguhpun begitu, ethos negeri itu, yang lebih terbuka dan bebas --- mungkin dibina atas tema diskursif dan humanis yang terkandung dalam Thirukkural --- telah menyediakan suatu peluru bagi kebangkitan semula Hindu yang keras, yang membawa BJP semula untuk memegang kuasa pada tahun 2014. Kelihatannya terdapat sedikit bukti bahawa pada tahun 2019, keadaan akan berbeza.
Tamil Nadu akan terus menggerakkan kemakmuran dan kemajuannya, tidak kira apa saja yang berlaku di Delhi.
* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.