DI daerah 8, Bandaraya Ho Chi Minh, Aisyah, ibu kepada tiga anak duduk di gerai miliknya.

Di sini, Aisyah menjual sup pho, hidangan di Vietnam yang paling terkenal.

"Saya dan suami saya bekerja. Dia jadi pemandu sepenuh masa," kata Aisyah.

Berasal dari Chau Doc -- sebuah bandar majoriti Islam terletak di Wilayah An Giang --- Aisyah adalah seorang wanita Islam Cham.

Populasi Cham mewakili 0.2 peratus penduduk negara itu salah satu daripada 54 kumpulan etnik yang membentuk rangkaian masyarakat Vietnam.

Mereka menyusur galur keturunan mereka kepada rumpun Melayu-Polinesia.

"Kami memperoleh pendapatan yang kurang semasa Ramadan, sebab itu saya pastikan simpanan mencukupi. Selain berniaga di gerai saya, saya juga jual makanan dan kudapan buatan rumah.

"Pada masa ini, terdapat 100 keluarga Islam tinggal di kawasan ini," kata Aisyah yang menetap berhampiran Masjid Jamiul Anwar --- salah satu daripada 12 masjid di bandaraya Ho Chi Minh.

Sebatang lorong sempit di sekitar tempat tinggal Aisyah berdekatan Masjid Jamiul Anwar di mana sukar untuk mendapatkan produk halal. Foto Mai Duong

"Kita cuba berdikari dengan keluaran sendiri seperti daging kerana sukar untuk mendapatkan produk halal di bandar ini," tambahnya.

Sejumlah 82 peratus penduduk Vietnam tidak terikat pada mana-mana agama.

Lapan peratus rakyatnya mereka merupkan penganut agama Buddha dan 0.1 peratus kalangan rakyat menyatakan mereka penganut agama Islam.

Ini menjadikan komuniti Islam di bandar itu sangat rapat dan saling menyokong.

"Ia adalah satu komuniti yang rapat di sini dan kami menyokong perniagaan di antara satu sama lain. Saya boleh amalkan Islam secara selamat dan tidak berasa janggal semasa Ramadan walaupun kebanyakan orang di negara itu tidak berpuasa. Ini adalah kerana kerajaan mendokong kebebasan beragama.

"Hak ini diiktiraf dalam Artikel 70 Perlembagaan Vietnam yang menyatakan bahawa semua agama adalah setaraf menurut undang-undang," katanya.

Aisyah menyifatkan warga Muslim di kejiranannya sebagai komuniti yang rapat dan saling menyokong perniagaan masing-masing. Foto Mai Duong

Senario di Myanmar

Begitupun, tatkala orang Islam Cham --- dan orang Islam umumnya menikmati keamanan, malangnya ini tidak berlaku di Myanmar apabila orang Islam Rohingya di Myanmar dilabel oleh kumpulan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai 'minoriti paling ditindas di dunia'.

Walaupun diberi jaminan oleh Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi bahawa kerajaannya sedang mengambil langkah bagi mengatasi dakwaan penghapusan dan pembunuhan kaum, lebih 600,000 orang Rohingya dari negeri Rakhine kekal sebagai pelarian.

Jaminan itu pula kekal sebagai jaminan kosong.

Nasib mereka adalah suatu peringatan harian kepada orang yang lebih bertuah ... seperti kita.

Seperti di bandar-bandar lain di Vietnam, majoriti penduduk Ho Chi Minh City sama ada tidak menganut sebarang agama atau merupakan pengikut Buddha. Foto Mai Duong


NOTA: Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.