RAMALLAH: Keangkuhan seorang anggota askar simpanan rejim Zionis akhirnya memakan diri.

Sebuah rakaman video yang menjadi tular di platform X menunjukkan seorang lelaki Yahudi menerima padah selepas dia menyepak bendera kebangsaan Palestin yang dipasang alat letupan diubah suai (IED) ketika kejadian pada akhir minggu lalu.

Individu berusia 25 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu di sebuah kawasan lapang berhampiran kawasan penempatan haram Yahudi Kochav Hashahar di Tebing Barat.

Letupan kuat dan asap tebal memenuhi lokasi tersebut sejurus dia menendang bendera Palestin yang dipasang di tengah kawasan padang rumput.

Lelaki itu turut tercampak ke tepi padang dan dilaporkan cedera akibat daripada impak letupan tersebut.

Selepas klip itu mendapat perhatian banyak pihak, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan angkuh memberitahu mereka akan memburu pelaku ketika keganasan terus meningkat di Tebing Barat. - Sinar Harian memetik agensi