WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sememangnya "pasti" berada dalam pertandingan presiden, kata pengerusi kempen pemilihannya semula pada Jumaat, walaupun semakin banyak desakan daripada pelbagai pihak dalam Parti Demokrat supaya beliau menarik diri.

"Sudah pasti, Presiden dalam pertandingan ini," lapor Agensi Anadolu memetik kata-kata Jen O'Malley Dillon semasa wawancara dalam program "Morning Joe" di MSNBC.

"Kami percaya dalam kempen ini, kami dibina untuk pilihan raya yang sengit dan kami melihat laluan ke hadapan.

"Beliau adalah orang terbaik untuk menghadapi Donald Trump dan membentangkan visinya, berbanding apa yang kita lihat malam tadi," katanya.

Dia berkata Trump "tidak akan menawarkan apa-apa yang baharu kepada rakyat Amerika," sambil menambah "Joe Biden lebih komited dari sebelumnya untuk mengalahkan Donald Trump."

Menurut Anadolu, kenyataan itu dibuat selepas Axios melaporkan, memetik beberapa pemimpin Demokrat terkemuka, bahawa Biden mungkin mengumumkan keputusannya untuk menamatkan kempen pemilihannya semula seawal hujung minggu ini.

Kebanyakan tinjauan menunjukkan Biden kini ketinggalan dengan ketara di belakang Trump di negeri-negeri penting dengan hanya tinggal empat bulan menjelang Hari Pilihan Raya.

Biden, yang kini mengasingkan diri selepas didiagnosis menghidapi COVID, tidak memberi petunjuk secara terbuka bahawa beliau akan memenuhi desakan untuk menamatkan kempen beliau, walaupun penderma dan penggubal undang-undang Demokrat yang berpengaruh turut menyuarakan tuntutan agar beliau berundur.

-- BERNAMA