Bekas presiden Singapura, S R Nathan telah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada jam 9.48 Isnin malam.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura, Presiden keenam Singapura itu meninggal dunia pada usia 92 tahun.

Ia juga turut dikongsi di laman Facebook rasmi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.


"Perdana Menteri dan ahli kabinet beliau merasa sedih apabila mengetahui pemergian S R Nathan dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya.

"Mendiang meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada hari Isnin jam 9.48 malam. Mendiang berusia 92 tahun.

"Tarikh untuk orang ramai memberi penghormatan dan maklumat pengebumian akan diumumkan kemudian," kata kenyataan itu.

Nathan sebelum ini berada dalam keadaan kritikal sejak diserang angin ahmar buat kali kedua pada 31 Julai lalu.

Beliau merupakan Presiden Singapura yang paling lama berkhidmat iaitu untuk dua penggal dari tahun 1999 hingga 2011.

Beliau secara rasmi meletak jawatan sebagai Presiden pada 31 Ogos 2011.