Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan Wanita Pertama Michelle Obama menyampaikan ucapan Hari Krismas terakhir mereka dari White House pada Sabtu, dan antara lain mengingatkan tentang nilai-nilai asas yang menyatukan seluruh kepercayaan rakyat Amerika.

“Ia berkenaan pemahaman tentang kita perlu saling menjaga. Kita perlu melayan dan menghormati orang lain sama seperti kita mahu dilayani dan dihormati.

“Nilai-nilai itulah yang membimbing kita, bukan saja kepercayaan Kristian seperti keluarga saya, malah bagi komuniti Amerika-Yahudi, Amerika-Muslim, orang yang kepercayaan tanpa agama dan seluruh rakyat Amerika yang perlbagai latar belakang,” ujar Michelle.

Ucapan Natal pasangan Obama itu hadir ketika AS kini sangat 'terpisah' selepas berakhirnya kempen kepresidenan yang menyaksikan jutawan hartanah Donald Trump memenanginya dan menyingkirkan peluang calon Demokrat, Hillary Clinton.

Pasangan Obama tampil ceria dalam ucapan mereka, sambil menunjukkan imbasan lalu tentang ucapan Krismas pertama mereka pada tahun 2009, yang menunjukkan Barack tidak henti ketawa.

Barack juga menggunakan peluang berucap tersebut untuk mengulas tentang penglibatannya dalam pentadbiran, dengan menyebut bahawa AS kini bertambah teguh sejak beliau mengambil alih jawatan itu daripada George W. Bush.

“Bersama, kita harungi era kemelesetan ekonomi terburuk sejak 80 tahun, dan meletakkan paras pengangguran terendah dalam tempoh sembilan tahun.

“Kita telah jadikan Amerika lebih dihormati di seluruh dunia, dan mengetuai usaha melindungi dunia ini emi anak-anak kita dan banyak lagi,” ujarnya.

Selain itu, pasangan itu turut merakamkan penghargaan untuk pasukan keselamatan AS dan anggota keluarga mereka.