WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak menyokong penggunaan senjata jarak jauh oleh Ukraine ke atas Rusia, kata jurucakap Pentagon Sabrina Singh pada Isnin.

"Kami tidak menyokong keupayaan serangan jarak jauh ke Rusia, tetapi ya, seperti senjata, HIMARS (Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi), perkara seperti itu. Apabila ia berkaitan dengan wilayah rentas sempadan, itu adalah sebahagian daripada fokus perubahan dasar," kata Singh kepada pemberita.

Kenyataannya dibuat selepas Presiden AS Joe Biden minggu lepas memberikan kelulusan secara rahsia kepada Ukraine untuk menggunakan senjata yang dibekalkan AS bagi menyerang Rusia, tetapi hanya berhampiran bandar Kharkiv di timur laut Ukraine.

Singh berkata tentera Rusia terus melakukan pergerakan di sekitar Kharkiv, sambil menambah: "Jadi, itu adalah jenis keupayaan yang akan berguna di sana. Namun begitu, dasar kami mengenai serangan jarak jauh di Rusia, kami tidak menyokong," katanya ketika ditanya sama ada sistem roket HIMARS Amerika boleh digunakan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Ahad mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin atas keputusan Washington baru-baru ini untuk membenarkan Kyiv menggunakan senjata Amerika terhadap Rusia.

-- BERNAMA