MUNICH: Ribut dan hujan lebat melanda sebahagian besar kawasan selatan Jerman pada Jumaat dan Sabtu, mengakibatkan hubungan termasuk jalan raya terputus dan penduduk terpaksa dipindahkan dengan helikopter, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Sebuah daik dan empangan juga runtuh akibat banjir dan memerlukan pemindahan berasingan, kata pihak berkuasa di Daerah Augsburg, Bavaria.

Perkhidmatan kereta api antara ibu kota Bavaria, Munich, Bregenz di Austria dan Zurich di Switzerland dibatalkan akibat banjir. Laluan antara Ulm dan Augsburg turut terjejas, dan kereta api jarak jauh yang bergerak antara Stuttgart dan Munich terpaksa dilencongkan.

Di bandar Fischach, Bavaria, di barat Munich, sebuah helikopter digunakan untuk menyelamatkan mangsa banjir dari rumah mereka selepas Sungai Schmutter melimpah. Penduduk tidak dapat meninggalkan rumah mereka dengan cara lain, kata seorang jurucakap pentadbiran daerah.

Menurut polis, bot dan perkhidmatan kecemasan juga dalam perjalanan untuk membawa mangsa keluar dari rumah yang dilanda banjir. Beberapa daerah yang berdekatan mengisytiharkan keadaan darurat apabila hujan berterusan dan paras air terus meningkat.

Di negeri Baden-Wurttemberg, barat Bavaria, keadaan semakin mencemaskan selepas Sungai Rottum mula membanjiri beberapa bandar. Di bandar Reinstetten, 150 petugas perkhidmatan kecemasan telah bekerja selama lebih daripada 22 jam untuk menahan banjir dari empangan yang pecah, kata Datuk Bandar Philipp Burkle kepada dpa.

Burkle berkata pasukan bomba dari kawasan sekitar sedang mengepam keluar air dari ruang bawah tanah dan mengedarkan beg pasir. Setakat ini, hanya satu kemudahan kediaman dengan 15 penduduk telah dipindahkan.

Kira-kira 55 km ke utara, pihak berkuasa di bandar peranginan Wiesensteig mengingatkan 2,100 penduduknya supaya memasak air sebelum meminumnya selepas air banjir melimpah ke kemudahan bekalan air tempatan.

Ke selatan, berhampiran Tasik Constance, sebuah sekolah di Kampung Meckenbeuren, Baden-Wurttemberg terpaksa dikosongkan apabila banjir dari sungai tempatan menyebabkan runtuhnya penghadang beg pasir di sekitarnya.

Perkhidmatan cuaca Jerman meramalkan ribut petir dan hujan sehingga 80 liter per meter persegi di kawasan selatan Jerman pada hari Sabtu. Ribut ini juga dijangka berterusan pada hari Ahad.

--BERNAMA-dpa